
KUALA LUMPUR: Seramai 11 pencipta kandungan tempatan bakal membawa cabaran Malaysia pada edisi sulung TikTok Awards Asia Tenggara 2026 yang dijadual berlangsung di Bali, Indonesia, pada 27 November ini.
Mereka dipilih berdasarkan jumlah undian tertinggi daripada pengguna TikTok di Malaysia menerusi fasa undian awam bagi kategori Calon Negara (Country Nominees) yang berlangsung dari 12 hingga 26 Oktober lalu.
TikTok dalam satu kenyataan memaklumkan, lebih 5.3 juta undian direkodkan sepanjang tempoh berkenaan.
Antara pencipta kandungan yang terpilih ialah Adam Shamil bagi kategori Creator of the Year, Ikhmal Nour (TikTok LIVE Creator of the Year) dan Pudds atau @deadpudds bagi kategori Lifestyle Creator of the Year.
Pengurus Besar Operasi Kandungan Asia Tenggara TikTok, Angga Anugrah Putra berkata, kesemua pencipta kandungan berkenaan bukan sahaja menghasilkan karya kreatif, malah turut memberi impak positif kepada komuniti dan pertumbuhan ekonomi digital.
“Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada kesemua 11 pencipta kandungan tempatan yang terpilih menerusi undian sebagai wakil Malaysia.
“Mendukung tema ‘The Ones Who Spark It’, mereka bukan sekadar berkarya, malah mencerminkan nadi sebenar komuniti setempat dengan menterjemahkan minat kreatif kepada pertumbuhan ekonomi yang ketara serta impak sosial positif,” katanya.
Beliau berkata, komuniti TikTok di Asia Tenggara yang kini mempunyai lebih 460 juta pengguna membuktikan idea dan inspirasi seseorang pencipta kandungan mampu merentasi sempadan negara serta menyatukan masyarakat berbilang budaya.
Katanya, TikTok komited menyediakan ruang lebih luas kepada pencipta kandungan untuk membina komuniti inklusif, mengembangkan perniagaan secara mampan dan memberi inspirasi kepada khalayak di peringkat serantau.
Ketua Pegawai Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Content Forum), Mediha Mahmood berkata, penghasilan kandungan digital secara bertanggungjawab berpotensi memacu kemajuan sosial, meningkatkan taraf hidup masyarakat dan merancakkan ekonomi.
Menurutnya, pencipta kandungan kini bukan sahaja menjadi pemacu ekonomi kreatif, malah berperanan memberi inspirasi kepada generasi baharu inovator dan usahawan tempatan.
“Kami amat berbangga melihat bakat luar biasa anak Malaysia diraikan di persada serantau,” katanya.
Wakil Malaysia bagi kategori Creator of the Year, Adam Shamil pula menyifatkan pemilihan itu sebagai penghormatan besar buat dirinya, pasukan serta komuniti peminat yang sentiasa memberikan sokongan.
Dia berkata, kandungan digital kini bukan sekadar medium penceritaan, sebaliknya menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat, memacu pertumbuhan perniagaan dan membuka peluang ekonomi kepada lebih ramai individu.
“Sebagai anak jati Borneo, saya bangga dapat membawa cerita dan daya kreativiti tanah air kita ke khalayak serantau yang lebih luas. Semoga kejayaan ini memberi inspirasi kepada lebih ramai orang untuk terus mengejar minat dan menterjemahkan idea mereka menjadi sesuatu yang bermakna,” katanya.
Lapan lagi pencipta kandungan yang turut mewakili Malaysia ialah Nabil Nazrol (Rising Creator of the Year), Sir Asai (Education Creator of the Year), Amaranas (Sports Creator of the Year), Chesayang Kitchen (Food Creator of the Year), Leonsmeonss (Entertainment Creator of the Year), Gigi Cheoh (Beauty & Fashion Creator of the Year), Moses Wong (Popular Video of the Year) dan Sally Woo (TikTok Shop Creator of the Year).







