
KUALA LUMPUR: Tujuh lelaki termasuk seorang remaja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi pertuduhan merusuh menggunakan senjata di hadapan sebuah kafe di Desa Tun Razak, Sungai Besi, di sini, 1 November lalu.
Mereka ialah Iftikhar Muhammad Rehmani Mohd Rafie, 30, Danny Chan Tim Meng, 20, Yee Jun Jiet, 20, Khaw Kah Ho, 19, Mohd Quayyum Azman, 43, Syaiful Kamal Abdulahak, 44, serta seorang remaja lelaki berusia 16 tahun.
Kesemua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu bersama seorang individu yang masih bebas kira-kira pukul 11 malam pada tarikh berkenaan.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menyertai dan berada dalam rusuhan serta memiliki benda memudaratkan yang boleh digunakan sebagai senjata untuk menyerang.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Mohamad Poad, menawarkan jaminan RM3,000 terhadap remaja terbabit, manakala enam tertuduh dewasa tidak ditawarkan sebarang jaminan.
Bagaimanapun, Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim membenarkan remaja itu diikat jamin RM800 dengan seorang penjamin, manakala enam tertuduh lain masing-masing dibenarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan supaya semua tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran kediaman masing-masing sebulan sekali sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 11 Disember depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.
Pada 2 November lalu, media melaporkan sembilan individu termasuk seorang wanita ditahan susulan kejadian rusuhan yang dipercayai berpunca daripada perebutan kawasan perniagaan di hadapan sebuah kafe di Sungai Besi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kesemua suspek berusia antara 16 hingga 44 tahun itu ditahan sepasukan anggota Unit Rondaan Bermotor (URB) Balai Polis Sungai Besi dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sekitar lokasi kejadian.





