
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan dipindahkan dari Penjara Kajang ke kediamannya di Taman Duta, di sini, hari ini bagi menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan di rumah berkuat kuasa serta-merta.
Perintah itu membolehkan Najib menjalani baki hukuman sehingga 23 Ogos 2028 susulan sabitan kesalahan menyeleweng dana SRC International Sdn. Bhd.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aslam Zainuddin, ketika memutuskan perkara itu turut membatalkan perintah bertarikh 6 November lalu yang menetapkan pembebasan Najib tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Sebaliknya, mahkamah menggantikan perintah berkenaan dengan satu perintah bersyarat yang menetapkan Najib perlu menjalani baki hukuman penjara melalui kaedah tahanan di rumah.
“Ia digantikan dengan perintah bersyarat bahawa tertuduh hendaklah menjalani hukuman penjara melalui tahanan di rumah,” katanya.
Dalam pada itu, kawalan keselamatan di kediaman Najib di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini, dipertingkatkan susulan perkembangan terbaharu berhubung pelaksanaan perintah tahanan rumah terhadap beliau.
Beberapa kenderaan polis memasuki kawasan berkenaan, manakala pihak media turut diminta meninggalkan perkarangan kediaman itu bagi memberi laluan kepada langkah peningkatan kawalan keselamatan.




