
KUALA LUMPUR: MR D.I.Y. sekali lagi membuktikan kedudukannya sebagai jenama peruncitan pilihan pengguna apabila dinobatkan sebagai Top Home Improvement Retail Brand (Jenama Peruncit Penambahbaikan Rumah Terunggul) bagi kategori Anugerah Serantau di World Branding Awards 2026.
Pengiktirafan pada edisi ke-21 anugerah anjuran World Branding Forum itu merupakan kemenangan kesembilan MR D.I.Y. sejak mula menerima pengiktirafan berkenaan pada 2018.
Perjalanan jenama ini bermula dengan tiga kemenangan di peringkat kebangsaan dari 2018 hingga 2020, sebelum meraih enam pengiktirafan serantau berturut-turut dari 2021 hingga 2026.
Pencapaian itu juga seiring dengan perkembangan pesat MR D.I.Y. daripada sebuah kedai perkakasan kecil di Malaysia pada 2005 kepada kumpulan peruncitan antarabangsa yang kini mempunyai lebih 6,000 cawangan di seluruh dunia.
Naib Presiden Kanan Pemasaran MR D.I.Y. Group (M) Berhad, Alex Goh berkata, kejayaan meraih anugerah selama sembilan tahun berturut-turut membawa makna yang lebih besar daripada sekadar pengiktirafan tahunan.
Menurutnya, pencapaian itu mencerminkan kepercayaan berterusan pelanggan terhadap jenama berkenaan.
“MR D.I.Y. bukan sekadar menawarkan produk pada harga berpatutan, malah turut memberi perhatian kepada keperluan pelanggan, kemudahan membeli-belah serta perkhidmatan yang boleh dipercayai.
“Komitmen itu akan terus menjadi keutamaan syarikat meskipun perniagaan semakin berkembang ke pasaran antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.
Alex turut menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil usaha seluruh warga kerja MR D.I.Y. yang sentiasa berusaha memahami dan memenuhi keperluan komuniti.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada pelanggan yang terus memberikan sokongan dan kepercayaan kepada jenama itu selama ini.
MR D.I.Y. kini mengendalikan lebih 6,000 cawangan menerusi tiga format perniagaan utama, iaitu MR. D.I.Y., MR. TOY dan MR. DOLLAR.
Selain Malaysia, kumpulan itu turut melebarkan sayap ke beberapa negara termasuk Thailand, Brunei, Indonesia, Singapura, Filipina, Kemboja, India, Turki, Sepanyol, Vietnam, Bangladesh, Poland, Afrika Selatan dan Romania.
World Branding Awards merupakan anugerah yang mengiktiraf jenama terkemuka di peringkat global, serantau dan kebangsaan. Bagi edisi 2026-2027, sebanyak 2,000 jenama dari 62 negara telah dicalonkan.
Pemilihan pemenang dibuat berdasarkan gabungan penilaian jenama, kajian pasaran pengguna dan undian awam secara dalam talian.
Majlis penyampaian anugerah berlangsung di Great Hall, Hampton Court Palace, United Kingdom dengan menghimpunkan jenama-jenama yang menerima pengiktirafan dari seluruh dunia.







