
SINGAPURA: Malaysia menyasarkan tenaga boleh baharu mencapai 70 peratus daripada kapasiti terpasang negara menjelang 2050, selain mengaspirasikan pelepasan sifar bersih seawal tahun sama bagi memperkukuh keselamatan tenaga dan memacu peralihan kepada sistem tenaga lestari.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, sasaran itu akan dilaksanakan menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dengan mengambil kira cabaran geopolitik, gangguan rantaian bekalan serta peningkatan permintaan elektrik.
“Keselamatan tenaga kini merupakan satu keperluan strategik dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik, gangguan rantaian bekalan serta peningkatan permintaan elektrik yang didorong oleh pertumbuhan ekonomi, pusat data dan kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertemakan Connecting Energy Systems, Powering Tomorrow pada persidangan tahunan Singapore International Energy Week (SIEW) 2026 di Singapura, semalam.
Menurut Fadillah, pengukuhan infrastruktur grid, pembangunan sistem penyimpanan tenaga, peningkatan fleksibiliti sistem dan kepelbagaian sumber tenaga perlu dilaksanakan seiring pertambahan kapasiti tenaga boleh baharu bagi memastikan bekalan elektrik kekal stabil dan berdaya tahan.
“Malaysia akan terus melaksanakan peralihan tenaga yang selamat, mampu milik dan lestari menerusi NETR,” katanya.

Beliau berkata, aspirasi ASEAN Power Grid (APG) juga perlu direalisasikan menerusi pembangunan infrastruktur dan peluasan perdagangan elektrik rentas sempadan bagi meningkatkan kecekapan sistem, menyokong integrasi tenaga boleh baharu serta memperkukuh keselamatan tenaga serantau.
Dalam pada itu, beliau menyatakan teknologi AI berpotensi meningkatkan keupayaan ramalan permintaan elektrik, mengoptimumkan operasi grid dan memudahkan integrasi tenaga boleh baharu, manakala pelaksanaan projek serantau memerlukan penggemblengan modal swasta serta mekanisme pembiayaan inovatif.
“Hala tuju dasar yang jelas dan konsisten, kawal selia yang telus serta kerjasama serantau yang kukuh merupakan asas penting dalam meningkatkan keyakinan pelabur,” katanya.
Fadillah menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Tenaga Malaysia dengan Energy Market Authority (EMA) Singapura, selain MoU membabitkan Ditrolic Energy, International Finance Corporation (IFC), DBS dan Maybank bagi memperkukuh kerjasama sektor tenaga.

Beliau juga menyaksikan penyerahan kelulusan bersyarat yang menandakan kemajuan projek sambung tara elektrik Vietnam-Malaysia-Singapura, membabitkan kerjasama PTSC, Petrovietnam, Sembcorp, PETRONAS dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Sepanjang penyertaan pada persidangan itu, Fadillah mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari Singapura serta beberapa pemain industri tenaga antarabangsa, termasuk Japan Bank for International Cooperation (JBIC), Siemens Energy, ACWA Power, Électricité de France (EDF), Gentari dan Mitsubishi Heavy Industries bagi memperkukuh kerjasama dalam sektor tenaga bersih.
Pertemuan itu turut membincangkan pengukuhan rantaian bekalan industri tenaga bersih, pembuatan turbin, pembangunan modal insan serta usaha kerajaan memudah cara pelaburan dan menggalakkan penggunaan teknologi terkini bagi membangunkan sistem tenaga yang lebih selamat, berdaya tahan, mampu milik dan lestari.







