
BARANG yang sudah lama digunakan bukan bermakna tiada lagi nilainya. Dengan sedikit kreativiti dan usaha, barangan terpakai juga boleh diberi nafas baharu, malah membawa manfaat kepada orang lain.
Itu yang dilakukan jenama bagasi terkenal dunia, Samsonite, menerusi inisiatif terbaharunya apabila mengubah bagasi terpakai menjadi perabot khas untuk kanak-kanak di Yayasan Chow Kit (YCK).
Menerusi kempen Luggage Trade-In, bagasi yang dikumpulkan tidak sekadar berakhir sebagai barangan terbuang. Sebaliknya, sebahagian komponennya dikitar semula menjadi meja dan kerusi berwarna-warni yang direka khusus untuk kegunaan anak-anak di pusat berkenaan.
Bagi menjayakan usaha ini, Samsonite bekerjasama dengan Precious Plastic, sebuah inisiatif tempatan yang memberi tumpuan kepada kitar semula plastik secara mampan.

Hasilnya, sebanyak 90 bagasi terpakai diberi nafas baharu sebagai 10 set perabot unik, merangkumi tiga meja boleh lipat, enam set kerusi boleh susun serta sebuah set catur.
Meja yang dihasilkan bukan sekadar berfungsi sebagai tempat untuk belajar atau melakukan aktiviti harian. Apabila tidak digunakan, meja tersebut boleh dipamerkan sebagai karya seni berbingkai, sekali gus menceriakan ruang YCK dengan sentuhan warna dan kreativiti.
Pendekatan ini membuktikan amalan kelestarian tidak semestinya sesuatu yang rumit. Kadangkala, dengan melihat sesuatu barang daripada sudut berbeza, bahan yang dianggap tidak lagi berguna boleh berubah menjadi sesuatu yang mempunyai nilai baharu.
Seni beri harapan
Inisiatif ini turut memberi peluang kepada anak-anak YCK untuk meluahkan kreativiti mereka menerusi sebuah karya seni bertemakan Tree of Hope atau Pohon Harapan.
Karya tersebut dihasilkan oleh pihak YCK dengan mengetengahkan aspirasi, pengalaman dan harapan anak-anak terhadap masa depan mereka. Tema itu juga mencerminkan peranan pusat berkenaan dalam memberikan sokongan serta harapan kepada kanak-kanak yang memerlukan.
Bukan sekadar hiasan, karya seni ini menjadi simbol bahawa setiap anak mempunyai impian dan potensi untuk berkembang, selain mengingatkan pengunjung tentang kepentingan usaha bersama dalam membina komuniti yang lebih prihatin.

Menurut Pengurus Besar Samsonite Malaysia, Ambert Khoo, kerjasama bersama YCK memberi peluang kepada pihaknya untuk memanfaatkan semula bahan daripada kempen Luggage Trade-In dalam bentuk yang lebih bermakna.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan memperlihatkan bagaimana kelestarian dan inovasi boleh digabungkan bagi menghasilkan impak positif kepada masyarakat.
Samsonite juga berharap perabot yang dihasilkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak-anak YCK, di samping memupuk kesedaran tentang kepentingan amalan lestari sejak usia muda.
Pengasas bersama YCK, Datuk Dr. Hartini Zainudin, menyifatkan sumbangan tersebut sebagai satu usaha bermakna yang bukan sahaja mengangkat kepentingan kelestarian, malah membantu menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan menarik untuk kanak-kanak.
Kitar semula secara kreatif
Usaha Samsonite tidak terhenti setakat menghasilkan perabot. Sempena majlis pelancaran perabot berkenaan di Pusat YCK, pengasas Precious Plastic, Yoong Yi, turut mengendalikan bengkel kitar semula untuk kanak-kanak dan tetamu yang hadir.
Menerusi aktiviti secara langsung itu, peserta diperkenalkan kepada konsep kitar semula dan kitar naik dengan cara yang lebih santai serta menyeronokkan.

Mereka berpeluang menghasilkan tanda nama bagasi sendiri menggunakan plastik terpakai, sekali gus melihat bagaimana bahan yang biasanya dianggap sebagai sisa boleh diubah menjadi barangan baharu yang berguna.
Pendekatan secara praktikal seperti ini juga menjadikan proses pembelajaran lebih dekat dengan kehidupan seharian. Anak-anak bukan sahaja mendengar tentang kepentingan menjaga alam sekitar, malah dapat mencuba sendiri bagaimana sesuatu bahan boleh digunakan semula.
Bukan sekadar kempen
Kempen Luggage Trade-In Samsonite 2026 berlangsung dari 15 Mei hingga 12 Julai lalu, dengan menampilkan koleksi Hi-Fi dan Myton.
Menerusi kempen tersebut, pelanggan yang membawa masuk bagasi lama untuk ditukar beli berpeluang menikmati penjimatan sebanyak 30 peratus bagi koleksi Hi-Fi dan 40 peratus bagi koleksi Myton.

Namun, di sebalik tawaran itu, usaha memberikan kehidupan kedua kepada bagasi terpakai membawa mesej yang lebih besar, iaitu kepentingan menggunakan sumber secara bertanggungjawab dan mengurangkan pembaziran.
Daripada bagasi yang sudah menempuh pelbagai perjalanan, kini bahan terpilih daripadanya menjadi perabot yang bakal menemani anak-anak YCK dalam aktiviti harian mereka.







