
BOSAN dengan kesibukan kota dan rutin harian? Erzincan di timur Anatolia, Turkiye, mungkin destinasi yang sesuai untuk merehatkan minda sambil menikmati keindahan alam semula jadi.
Dengan landskap menakjubkan, warisan Laluan Sutera dan pelbagai aktiviti mencabar, wilayah ini menawarkan pengalaman berbeza buat pelancong yang mahu lari seketika daripada kesibukan hidup.
Antara tarikan utamanya ialah ngarai yang dalam, air terjun mempesona, tasik berwarna merah serta banjaran gunung yang menjanjikan pengembaraan sepanjang tahun, termasuk ketika musim luruh.
Antara lokasi yang wajib dikunjungi ialah Kemaliye, sebuah pekan indah di tebing Sungai Fırat yang mendapat pengiktirafan Cittaslow, selain tersenarai dalam Senarai Tentatif Warisan Dunia UNESCO.
Bagi pencinta cabaran, Taş Yol atau Jalan Batu sepanjang tujuh kilometer pasti menguji keberanian. Laluan yang dipahat pada batu itu diapit tebing setinggi 400 hingga 500 meter dan terkenal dengan keadaan jalannya yang mencabar.
Pengunjung juga boleh menikmati pemandangan pekan tradisional serta panorama alam dari Bukit Şahin.

Namun, tarikan paling mengagumkan di Kemaliye ialah Ngarai Karanlık atau Ngarai Gelap yang turut tersenarai dalam Senarai Tentatif Warisan Dunia UNESCO.
Ngarai yang antara terdalam di dunia itu sesuai untuk aktiviti mencabar seperti mendaki batu, meneroka ngarai dan sukan udara ekstrem.
Sungai Karasu yang mengalir di lembah berkenaan pula menawarkan aktiviti seperti berakit dan berkayak.
Tasik Merah dan air terjun memukau
Bagi mereka yang lebih gemar menikmati keindahan alam dengan santai, Air Terjun Girlevik antara lokasi yang tidak harus dilepaskan.
Pemandangannya berubah mengikut musim, daripada kehijauan dan aliran air yang mempesona ketika cuaca panas kepada dedaunan berwarna-warni pada musim luruh.
Ketika musim sejuk, air terjun itu boleh membeku dan menjadi lokasi menarik untuk aktiviti memanjat ais.

Satu lagi keunikan Erzincan ialah Tasik Otlukbeli, tasik empangan travertin yang terbentuk hasil proses geologi semula jadi.
Airnya yang berwarna kemerahan terhasil daripada percampuran air kaya mineral dengan tanah merah di sekitarnya, menghasilkan pemandangan yang cukup luar biasa.
Dari mendaki hingga terbang di udara
Bagi pencinta aktiviti luar, Erzincan menawarkan pelbagai pilihan termasuk mendaki, berkhemah, berbasikal gunung, paragliding dan pengembaraan menggunakan kenderaan lasak.
Banjaran Munzur, Esence (Kesis) dan Ergan menjadi latar kepada landskap pergunungan yang menakjubkan, lengkap dengan tasik glasier, hutan tebal dan kawasan tanah tinggi.
Pergunungan Munzur sesuai untuk aktiviti mendaki, memerhati hidupan liar dan berkhemah, manakala Banjaran Kesis (Esence) menempatkan Tasik Aygir, antara tasik kawah tertinggi di Turkiye, serta Yedi Goller atau Tujuh Tasik yang terkenal dengan air biru jernih dan puncak bersalji.

Jika mahukan pengalaman lebih tenang, Tanah Tinggi Dumanlı di Refahiye menawarkan laluan berjalan kaki yang dikelilingi kehijauan alam.
Pelancong juga boleh meneroka Kemah dan Kampung Bagıstas di İliç yang kaya dengan sejarah serta landskap semula jadi. Sementara itu, Uzumlu terkenal dengan kawasan kebun anggur dan anggur Cimin, varieti tempatan yang mempunyai rasa tersendiri.
Jangan lupa singgah di Eksisu, kawasan rekreasi popular yang menawarkan mata air mineral semula jadi, taman yang luas, kawasan tanah lembap yang menjadi habitat burung serta mata air panas.
Ergan tarikan musim sejuk
Keindahan Erzincan tidak terhenti apabila suhu mula menurun. Ketika musim sejuk, Gunung Ergan menjadi tumpuan penggemar aktiviti salji.
Sebagai antara pusat peranginan ski terbaharu di Turkiye, Ergan dilengkapi kemudahan moden dan menawarkan pelbagai aktiviti termasuk bermain ski, papan salji, mendaki serta menunggang kereta salji.

Dengan gabungan alam semula jadi, warisan budaya dan aktiviti untuk pelbagai tahap kecergasan, Erzincan menawarkan pilihan percutian yang sesuai untuk mereka yang mahu berehat, meneroka dan mencabar diri.
Bagi pelancong yang mencari destinasi berbeza daripada laluan pelancongan biasa, permata tersembunyi di timur Turkiye ini wajar dimasukkan dalam senarai percutian seterusnya.




