
KUALA LUMPUR: Aplikasi navigasi, TuJu sedang menjalani penambahbaikan sistem bagi memberikan pengalaman perjalanan yang lebih baik.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam kenyataan di Facebook memohon maaf atas kesulitan yang dialami pengguna susulan ganguan teknikal yang dialami menerusi aplikasi TuJu.
Sehubungan itu, LLM bersama penyedia aplikasi, Prosignal Consortium Sdn Bhd (PCSB) sedang mengambil tindakan bagi mengenal pasti punca gangguan, memulihkan kestabilan sistem dan meningkatkan keupayaan aplikasi untuk menampung pertambahan pengguna.
Menurut LLM, pihaknya mengambil perhatian maklum balas orang ramai berhubung gangguan teknikal yang dialami aplikasi TuJu.
“Katanya, ia susulan peningkatan ketara jumlah pengguna selepas saranan Perdana Menteri untuk mempertimbangkan penggunaan aplikasi navigasi tempatan.
“Pada masa sama, LLM turut memberi perhatian kepada maklum balas pengguna berhubung fungsi navigasi, ketepatan maklumat laluan dan pengalaman penggunaan aplikasi.
“Penambahbaikan akan terus dilaksanakan bagi memastikan TuJu dapat memberikan perkhidmatan yang lebih stabil, tepat dan mesra pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aplikasi navigasi tersebut menjadi tumpuan ramai selepas kerajaan memutuskan untuk melarang penggunaan aplikasi navigasi Waze yang berpangkalan di Israel dalam kalangan anggota perkhidmatan awam berkuat kuasa serta-merta.
Arahan itu dibuat menerusi pemakluman rasmi yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, susulan keputusan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 3 Tahun 2026 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
LLM memahami bahawa kepercayaan pengguna perlu dibina melalui mutu perkhidmatan yang boleh diharapkan.
Katanya, usaha memperkukuh TuJu bukan sahaja tertumpu kepada kestabilan sistem, malah merangkumi peningkatan fungsi navigasi, ketetapan maklumat dan keupayaan aplikasi dalam memenuhi keperluan pengguna.
“LLM akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya (KKR), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan pihak berkaitan dalam memperkukuh ekosistem navigasi tempatan termasuk aspek keselamatan dan tadbir urus data yang perlu diberi perhatian.
“Ia selaras dengan keutamaan kerajaan untuk memperkukuh keselamatan siber dan kedaulatan digital negara,” ujarnya.
LLM menghargai kesabaran serta maklum balas orang ramai dan memberi jaminan bahawa isu yang dibangkitkan akan diteliti secara serius.
Maklumat lanjut mengenai status pemulihan dan penambahbaikan aplikasi akan disalurkan melalui saluran rasmi LLM dan TuJu.






