
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyalurkan dana pembiayaan hampir RM1 bilion kepada 45,000 usahawan dan koperasi di Sabah sehingga September lalu bagi memperkukuh ekosistem keusahawanan serta merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri itu.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin, berkata pelbagai inisiatif dilaksanakan kementerian bagi memperluas akses pembiayaan serta membantu usahawan tempatan mengembangkan perniagaan ke skala lebih besar.
“KUSKOP menyediakan pelbagai inisiatif untuk memastikan usahawan kita tidak kekal di tahap mikro, sebaliknya berupaya berkembang ke skala lebih besar.
“Usaha memperkasa sektor keusahawanan bukan sahaja tertumpu kepada bantuan modal, malah merangkumi pembangunan kapasiti, pendigitalan dan peluasan akses pasaran bagi meningkatkan daya saing perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, KUSKOP turut memperkukuh kemudahan perniagaan di Sabah menerusi pelaksanaan 134 projek Tamu Desa bagi tempoh 2024 hingga 2026, membabitkan peruntukan RM30.53 juta.
Katanya, projek berkenaan bertujuan menyediakan ruang perniagaan yang lebih selesa, selamat dan kondusif, khususnya kepada usahawan luar bandar, sekali gus membantu meningkatkan potensi perniagaan serta menyokong aktiviti ekonomi setempat.
“Komitmen memperluas peluang perniagaan tersebut turut dizahirkan menerusi penganjuran Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) Edisi Sabah 2026 yang berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober ini, bertemakan Bikin Lokal Jadi Hebat, Usahawan Onsoiii.
“Karnival berkenaan menjadi platform kepada usahawan tempatan untuk mempromosikan produk, memperluas jaringan perniagaan serta mendapatkan akses kepada pelbagai inisiatif pembangunan keusahawanan,” katanya.
Beliau menambah, peluang padanan perniagaan bernilai sehingga RM999,000 turut diwujudkan, membabitkan 47 usahawan bagi membuka ruang kepada kerjasama strategik serta penerokaan pasaran baharu.
Katanya, peluang berkenaan dijangka membantu usahawan tempatan memperluas rangkaian komersial dan meningkatkan kebolehpasaran produk keluaran Sabah.
Karnival berkenaan menarik lebih 35,000 pengunjung, manakala nilai jualan produk usahawan melebihi RM263,000 sehingga semalam.

Sementara itu, TikTok Shop selaku rakan strategik karnival turut menyokong usaha pendigitalan PMKS melalui pelbagai inisiatif bagi membantu usahawan memanfaatkan platform digital untuk mengembangkan perniagaan.
Karnival itu turut menyaksikan penyampaian Anugerah Usahawan Sabah TikTok Shop sebagai pengiktirafan kepada usahawan tempatan yang berjaya menggunakan platform digital untuk memperluas capaian pelanggan dan meningkatkan potensi jualan.
Secara keseluruhannya, penyaluran pembiayaan hampir RM1 bilion kepada 45,000 usahawan dan koperasi, disokong pembangunan infrastruktur perniagaan serta platform promosi dan pendigitalan, mencerminkan usaha berterusan KUSKOP dalam memperkukuh sektor keusahawanan di Sabah.
Sokongan berkenaan diharap dapat membantu lebih ramai usahawan tempatan mengembangkan operasi, meningkatkan nilai produk dan membina perniagaan mampan serta berdaya saing, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.







