
NILAI: Berang melihat dua anaknya bertengkar di dalam kereta, seorang lelaki warga China tergamak meninggalkan anak keduanya yang berusia 12 tahun di tepi jalan berhampiran Plaza Tol Nilai, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), di sini, semalam.
Susulan itu, lelaki berusia 45 tahun tersebut ditahan polis di sebuah rumah di Jalan Cheras, Taman Pertama, Kuala Lumpur, pukul 12.15 tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya, berkata suspek dipercayai bertindak demikian kerana mahu memberi pengajaran kepada anaknya selepas berlaku pertengkaran antara dua beradik itu ketika dalam perjalanan ke Pantai Bagan Lalang, Selangor.
Beliau berkata, suspek bersama ahli keluarganya keluar dari rumah pukul 1 tengah hari semalam sebelum melalui lebuh raya berkenaan.
“Ketika dalam perjalanan, anak sulung suspek dikatakan bertengkar dengan anak kedua di dalam kenderaan sehingga menyebabkan suspek berang.
“Sejurus melepasi Plaza Tol Nilai, suspek memberhentikan kenderaannya di tepi jalan dan mengarahkan mangsa berusia 12 tahun keluar sebelum memarahinya berhubung pertengkaran itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, suspek kemudian meninggalkan mangsa di tepi jalan dan meneruskan perjalanan dengan alasan mahu memberi pengajaran supaya anaknya tidak mengulangi perbuatan berkenaan.
Namun, suspek dipercayai menyedari mangsa terjatuh di atas jalan raya sebelum berpatah balik untuk mengambil semula anaknya.
“Suspek kemudian membawa anaknya ke sebuah klinik swasta berhampiran Bandar Baru Nilai untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Johari berkata, susulan kejadian yang turut tular di media sosial itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Nilai diketuai Inspektor Mohd Azuan Saad berjaya mengesan dan menahan suspek.
Suspek turut menunjukkan kenderaan yang digunakan ketika kejadian sebelum polis merampas kereta berkenaan sebagai barang kes.





