
PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menegaskan pihaknya tidak pernah meluluskan sebarang pendaftaran pertubuhan Rohingya sebagai badan bukan kerajaan (NGO) di negara ini.
RoS menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan setiap permohonan pendaftaran pertubuhan perlu diteliti dan dinilai oleh Pendaftar Pertubuhan berdasarkan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832).
Menurut kenyataan itu, pematuhan terhadap syarat asas permohonan tidak bermakna sesebuah pertubuhan akan mendapat kelulusan pendaftaran secara automatik.
“Sebaliknya, setiap permohonan tertakluk kepada proses penelitian dan pertimbangan Pendaftar Pertubuhan sebelum keputusan dibuat,” menurut kenyataan itu.
RoS menjelaskan, antara syarat asas pendaftaran pertubuhan termasuk mempunyai sekurang-kurangnya tujuh ahli, perlembagaan pertubuhan yang lengkap, pemegang jawatan yang sah serta mengemukakan permohonan lengkap menerusi sistem eROSES.
Proses pendaftaran bermula dengan pengemukaan permohonan melalui sistem berkenaan, diikuti semakan dokumen dan maklumat sebelum dinilai berdasarkan peruntukan Akta 832.
Keputusan berhubung kelulusan pendaftaran kemudiannya dibuat oleh Pendaftar Pertubuhan.
Sehubungan itu, RoS menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi dan mengelakkan penyebaran maklumat tidak tepat berhubung status pendaftaran sesebuah pertubuhan.
Permohonan pendaftaran boleh dikemukakan menerusi sistem eROSES di www.eroses.gov.my.
Isu berkenaan timbul selepas seorang pengguna aplikasi Threads menerusi akaun x_.tw9 membangkitkan status Rohingya Society Malaysia (RSM) yang didakwa tidak sah, selain mempersoalkan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung laporan polis terhadap pertubuhan itu pada 2020.




