
KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran perkhidmatan badal haji yang tidak sah khususnya pakej berharga murah tanpa bukti serta pengesahan yang jelas.
Tabung Haji (TH) dalam hantaran di Facebook mengingatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya mempercayai pihak yang mendakwa mempunyai kuota atau mampu menguruskan visa haji bagi menawarkan perkhidmatan badal haji.
“Ini kerana kuota dan visa haji adalah tertakluk kepada kelulusan kerajaan Arab Saudi dan bukannya ditentukan oleh mana-mana syarikat atau individu yang menawarkan perkhidmatan berkenaan.
“TH tidak pernah melantik atau memberikan pengiktirafan kepada mana-mana syarikat mahupun individu untuk menjalankan perkhidmatan badal haji.
“Sehubungan itu, sebarang dakwaan yang menggunakan nama TH bagi mempromosikan atau meyakinkan orang ramai supaya mendapatkan perkhidmatan badal haji adalah tidak benar,” tegasnya.
TH menambah, orang ramai disaran supaya menyemak kesahihan sesuatu tawaran terlebih dahulu dan tidak membuat sebarang pembayaran tanpa mendapatkan maklumat serta pengesahan yang sewajarnya.
Katanya, langkah berwaspada amat penting bagi mengelakkan orang ramai menjadi mangsa penipuan, khususnya membabitkan urusan ibadah haji yang memerlukan pematuhan kepada peraturan dan ketetapan pihak berkuasa Arab Saudi.







