
KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal tanah air, Aina Abdul bakal menggalas tanggungjawab membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa menerusi penyertaannya dalam Eurovision Song Contest Asia 2026 di Bangkok, Thailand pada 14 November ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa bangga dan mendoakan agar Aina terus melakar kejayaan serta mengharumkan nama Malaysia menerusi bakat serta persembahannya di Bangkok.
“Penyertaan itu menjadi satu lagi peluang untuk mengetengahkan bakat serta keunikan karya muzik anak Malaysia kepada khalayak antarabangsa sekali gus membuktikan kemampuan penggiat seni tempatan untuk bersaing di peringkat global.
“Pencapaian berkenaan turut mendapat perhatian dan sokongan rakyat Malaysia yang berharap Aina dapat memberikan persembahan terbaik dalam pertandingan berprestij itu,” katanya melalui hantaran di Facebook.
Anwar menambah, seluruh rakyat Malaysia pastinya menaruh harapan agar penyanyi itu dapat membuat persembahan dengan penuh keyakinan, semangat dan membawa identiti muzik tempatan ke pentas berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata kejayaan sebenar bukan hanya diukur menerusi kemenangan, sebaliknya keberanian dan peluang untuk mewakili negara di pentas antarabangsa merupakan satu pencapaian yang wajar dibanggakan.
“Terbang tinggi, Aina!,” katanya.







