
LONDON: Pelakon dan pelawak terkenal Britain, Rowan Atkinson bakal kembali ke pentas West End selepas empat dekad menerusi persembahan komedi terbaharu, Rowan Live, yang akan dipentaskan secara terhad di Gillian Lynne Theatre, London.
Persembahan itu dijadualkan berlangsung dari 8 Februari hingga 13 Mac 2027 melibatkan 30 persembahan terhad sepanjang musim berkenaan.
Rowan Live menampilkan format pertunjukan sketsa komedi yang menggabungkan material baharu dengan sketsa yang pernah menjadi antara titik awal kerjaya Atkinson dalam dunia komedi.
Lebih istimewa, dia bakal kembali bekerjasama dengan penulis skrip, pengarah dan penerbit terkenal, Richard Curtis.
Mereka sudah menjadi rakan kolaborasi sejak awal pembabitan dalam industri hiburan.
Menurut Atkinson, kepulangan dia ke pentas West End selepas 40 tahun memberi peluang untuk menghidupkan semula sketsa yang menjadi permulaan kerjasamanya dengan Curtis termasuk karya yang memperkenalkan beberapa watak paling dikenali penonton.
“Sudah 40 tahun sejak kali terakhir saya membuat persembahan sketsa komedi di West End. Saya fikir adalah sesuatu yang menyeronokkan untuk kembali mempersembahkan sketsa yang menjadi permulaan kepada saya dan Richard Curtis, termasuk watak-watak saya yang paling dikenali, di samping beberapa material baharu yang ditulis khusus untuk persembahan ini,” katanya.
Atkinson, 71 dikenali menerusi watak ikonik Mr Bean serta siri komedi Blackadder, antara nama besar komedi Britain yang berjaya mencipta pengaruh di peringkat antarabangsa.
Kepulangan dia ke West End menerusi Rowan Live dijangka menjadi antara acara komedi pentas yang mendapat perhatian, khususnya selepas empat dekad tidak menjayakan persembahan sketsa komedi di pentas West End.
Atkinson tidak pernah menjayakan persembahan sketsa komedi di West End sejak empat dekad lalu, dan persembahan terbaharu itu menyaksikan dia kembali bergandingan di pentas bersama rakan penulis yang membantunya membentuk watak-watak paling ikonik sejak awal kerjayanya. – AGENSI







