
KOTA BHARU: Keluarga Allahyarham Muhammad Aidil Ahmad Zupardi bersetuju mendermakan hampir semua organ dan tisu arwah yang sesuai untuk membantu pesakit memerlukan, kecuali kulit.
Ibu Allahyarham, Che Sharifah Che Mat Soud, 63, berkata antara organ dan tisu yang dipersetujui untuk didermakan ialah buah pinggang, hati, paru-paru, kornea mata dan tulang.
Bagaimanapun, katanya, jantung anaknya tidak dapat didermakan selepas pemeriksaan imbasan mendapati terdapat sedikit kesan lebam akibat hentakan pada organ berkenaan.
“Doktor turut memaklumkan organ dalaman arwah berada dalam keadaan baik memandangkan usianya masih muda, selain sentiasa menjaga kesihatan dan tidak merokok.
“Malah, saiz organ juga bersesuaian dengan keperluan penerima. Jadi, kami reda dan berharap organ itu dapat dimanfaatkan oleh mereka yang sedang menunggu,” katanya seperti yang dilapor Berita Harian.
Che Sharifah berkata, Allahyarham disahkan mengalami kematian otak selepas terbabit dalam kemalangan berhampiran kediamannya di Padang Tembak, malam Isnin lalu.
Menurutnya, pihak Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) kemudian memberi penerangan kepada keluarga mengenai keadaan Allahyarham yang mengalami kematian otak, namun jantungnya masih berdegup dengan bantuan mesin pernafasan.
Katanya, doktor memaklumkan fungsi otak Muhammad Aidil, 23, sudah terhenti sepenuhnya dan jantungnya dijangka berhenti dalam tempoh lapan minit sekiranya bantuan mesin pernafasan ditanggalkan.
“Doktor kemudian meminta semua ahli keluarga berkumpul termasuk anak-anak bagi membincangkan perkara berkenaan sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Selepas semua ahli keluarga berkumpul, pihak hospital mengadakan perbincangan bersama kami dengan kehadiran doktor pakar yang menerangkan keadaan Muhammad Aidil,” katanya.
Che Sharifah berkata, doktor memaklumkan keadaan Allahyarham sebagai kes yang jarang ditemui, iaitu satu dalam 20,000, sekali gus membuka peluang untuk organ tubuhnya didermakan kepada pesakit yang memerlukan.
Katanya, pada awalnya dia berasa sedih dan berat hati untuk membuat keputusan itu, namun bersetuju selepas mengambil kira pandangan anak-anak yang melihat pendermaan organ sebagai amalan jariah buat Allahyarham.
“Doktor bertanya sama ada kami bersedia untuk mendermakan organ Aidil. Pada mulanya, saya memang sedih dan kasihan, tetapi anak-anak bersetuju kerana menganggap pendermaan itu boleh menjadi amalan jariah buat Aidil.
“Kami fikir masih ramai insan yang sedang menunggu organ untuk meneruskan kehidupan. Jadi, lebih baik organ yang masih elok itu dapat membantu mereka,” katanya.
Allahyarham tidak pernah mengisi sebarang borang sebagai penderma organ sebelum ini, sebaliknya keputusan berkenaan dibuat selepas pihak doktor mendapatkan persetujuan keluarga.
Katanya, seorang rakan Allahyarham pernah memberitahu anaknya itu ada menyuarakan hasrat untuk menderma organ selepas tertarik melihat orang lain melakukan perkara sama.
Mengimbas peribadi anak bongsu daripada empat beradik itu, Che Sharifah menyifatkan Allahyarham sebagai seorang anak yang baik, pendiam dan sentiasa menghormati orang lebih tua.
Jenazah Allahyarham dijadualkan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Teluk Puteri, Panchor, di sini selepas solat Zuhur.






