
SEPANG: Kira-kira 1,200 sekolah di Zon 9 membabitkan Negeri Sembilan, Melaka dan Johor menerima bekalan 100 peratus susu segar menerusi Program Susu Sekolah (PSS) kendalian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Pengarah Libat Urus Kerajaan dan Industri F&N, Norazrin Norsyam Yee berkata, komitmen itu merupakan usaha syarikat memastikan murid mendapat bekalan nutrisi berkualiti bagi menyokong tumbesaran serta perkembangan fizikal dan mental.
Menurutnya, susu berkenaan diperoleh daripada ladang tenusu F&N AgriValley di Gemas, Negeri Sembilan sebelum melalui proses pemerahan dan pembungkusan dengan kawalan kualiti di setiap peringkat.
“Kami mahu tekankan bahawa susu yang dibekalkan kepada sekolah-sekolah di bahagian selatan ini adalah 100 peratus susu segar yang diperah di ladang tenusu F&N di Gemas.
“Daripada pemakanan lembu, proses pemerahan hinggalah pembungkusan, semuanya diberi perhatian dari segi kualiti bagi memastikan susu yang dibekalkan memenuhi standard ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Sambutan Hari Susu Sekolah Sedunia dan penyampaian hadiah Pertandingan PSS Zon 9 di Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks KLIA, di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Norazrin berkata, usaha syarikat bukan sekadar menyediakan bekalan susu kepada murid, malah turut memberi penekanan terhadap pendidikan pemakanan sihat menerusi pelbagai program kesedaran dan aktiviti bersama komuniti sekolah.
Katanya, inisiatif berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama KPM, Jabatan Pendidikan Negeri serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pengambilan makanan berkhasiat dalam kalangan murid.
“Kami sangat menitikberatkan amalan pemakanan sihat kerana perkara ini penting untuk tumbesaran serta perkembangan fizikal dan mental kanak-kanak di Malaysia.
“Kami berharap lebih ramai rakyat Malaysia, khususnya kanak-kanak, mendapat kesedaran mengenai kepentingan meminum susu segar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kebanyakan produk F&N turut mempunyai label Healthy Choice Logo (HCL) sebagai sebahagian daripada usaha menggalakkan pengguna membuat pilihan pemakanan lebih sihat.






