
SEPANG: Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB) memperuntukkan hadiah wang tunai berjumlah RM40,500 bagi menghargai pencapaian sekolah cemerlang dalam Pertandingan Program Susu Sekolah (PSS) Zon 9 sempena Sambutan Hari Susu Sekolah Sedunia.
Majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Dewan Seri Perdana, Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks KLIA itu membabitkan penyertaan warga pendidik dan murid dari Negeri Sembilan, Melaka serta Johor.
Pengarah Urusan Makanan dan Libat Urus Industri F&NHB, Datuk Raffiq Md Ariff berkata, setiap kanak-kanak berhak mendapat peluang untuk membesar, belajar dan mencapai potensi diri menerusi asas pemakanan yang baik.
“Melalui kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di bawah PSS, kami membekalkan susu segar berkhasiat selain memperkukuh literasi, meningkatkan kesedaran terhadap alam sekitar dan mengeratkan hubungan dalam komuniti sekolah.
“F&N akan terus melaksanakan usaha ini bersama kerajaan serta komuniti pendidikan,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan Pengarah Libat Urus Kerajaan dan Industri F&N, Norazrin Norsyam Yee di sini hari ini.
Majlis berkenaan dirasmikan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM, Mohd Hanafi Samad menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Hal Ehwal Murid BPSH KPM, Hirudin Mohit.
Dalam perkembangan berkaitan, F&NHB selaku pembekal pilihan bagi Zon 9 di bawah kelolaan KPM kini membekalkan susu kepada kira-kira 77,000 murid di ketiga-tiga negeri berkenaan.
Syarikat itu turut menjadi satu-satunya pembekal PSS yang membekalkan 100 peratus susu segar bagi memastikan murid menerima nutrisi berkualiti untuk menyokong tumbesaran dan perkembangan otak.
Mohd Hanafi berkata, kebajikan murid merupakan tonggak penting dalam pendidikan negara, justeru pengurusan bekalan susu di peringkat sekolah perlu sentiasa mematuhi garis panduan ditetapkan KPM.
“Ketepatan rekod, keadaan bekalan, penyimpanan dan pengagihan hendaklah diurus dengan teliti mengikut panduan KPM yang berkuat kuasa. Saya menghargai para guru yang melaksanakan amanah ini setiap hari.
“Aktiviti pertandingan ini turut memberi peluang kepada murid menghubungkan pembelajaran dengan kehidupan seharian di samping membentuk kesedaran tentang pengurusan sisa,” katanya.
Selain itu, sebanyak 146 penyertaan diterima daripada 159 sekolah berdaftar, dengan kadar penyertaan sebanyak 91.8 peratus menerusi tiga kategori pertandingan.
Kategori berkenaan ialah Pengurusan Program Susu Sekolah Terbaik (Video), Penciptaan Watak Cerita (Video) berasaskan bahan kitar semula dan Pengumpulan Kotak Susu Terpakai Terberat.
Menerusi inisiatif kelestarian alam sekitar itu, sebanyak 836.7 kilogram kotak susu terpakai berjaya dikumpulkan oleh 68 sekolah yang mengambil bahagian.
Selain pertandingan, inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) F&N Magnolia 2026 turut merangkumi Jerayawara Kesedaran Pemakanan Sihat di 20 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang mengagihkan susu kepada 11,060 murid.
Inisiatif itu turut disusuli program intervensi bacaan Cerdas Membaca Bersama F&N Magnolia selama lapan minggu, membabitkan 83 murid dan 13 guru dari 13 sekolah rendah terpilih bagi memperkukuh penguasaan literasi bahasa Melayu






