
KUALA LUMPUR: Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Perancis meningkat 11.4 peratus kepada RM17.78 bilion pada 2025, sekali gus mengukuhkan kedudukan Perancis sebagai rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara Kesatuan Eropah (EU).
Perkembangan positif itu mencerminkan hubungan ekonomi yang semakin kukuh antara kedua-dua negara, khususnya dalam usaha memperluas kerjasama perdagangan, pelaburan dan pembangunan industri berteknologi tinggi.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, usaha memperkukuh hubungan ekonomi itu turut diterjemahkan menerusi pelancaran Malaysia–France High-Level Business Council bersama Menteri Perwakilan bagi Industri Republik Perancis, Sébastien Martin, bersempena Forum Perniagaan Perancis-Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.
Majlis itu berlangsung sempena lawatan rasmi Presiden Perancis, Emmanuel Macron selama dua hari ke Malaysia bermula Isnin atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menambah, majlis berkenaan bertujuan memudahkan syarikat dari kedua-dua negara meneroka peluang kerjasama strategik, memperluas jaringan rakan niaga, meningkatkan perolehan daripada pembekal tempatan serta merancakkan pelaburan jangka panjang.

“Setakat ini pelaburan Perancis bernilai RM6.50 bilion menerusi 151 projek sektor pembuatan di Malaysia telah mewujudkan hampir 13,000 peluang pekerjaan.
“Sehubungan itu, Malaysia mengalu-alukan lebih banyak pelaburan berkualiti dari Perancis, terutama dalam sektor aeroangkasa, semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) dan unsur nadir bumi,” katanya melalui hantaran di Facebook.
Johari menambah, kerjasama dalam bidang berkenaan bukan sahaja berpotensi memperkukuh ekosistem perindustrian negara, malah mempercepat pemindahan teknologi serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat Malaysia.
Beliau turut menyambut baik kehadiran Macron dan delegasi Perancis, sambil menyifatkan lawatan berkenaan sebagai peluang penting untuk memperkukuh hubungan dua hala serta meneroka potensi baharu dalam kerjasama ekonomi dan perdagangan.






