
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menegaskan pihaknya tidak pernah memberikan kelulusan kepada syarikat berpangkalan di Singapura, Megaspeed International Pte Ltd atau sekutunya di Malaysia, Speedmatrix Sdn Bhd.
MITI dalam kenyataan berkata, Speedmatrix merupakan penyewa di beberapa pusat data di Malaysia, manakala sebarang lawatan pengesahan yang dilakukan kementerian di kemudahan berkenaan adalah sebahagian daripada pemantauan rutin terhadap sektor pusat data negara.
“Justeru, lawatan sedemikian tidak seharusnya ditafsirkan sebagai pengesahan atau kelulusan terhadap mana-mana syarikat terbabit.
“Sebarang dakwaan yang mengaitkan lawatan pemantauan tersebut dengan pemberian kelulusan kepada syarikat berkenaan adalah tidak tepat,” kata kenyataan itu.
MITI menjelaskan sebagai penyewa pusat data di Malaysia, Speedmatrix membawa masuk pelayan dan cip kecerdasan buatan (AI) sendiri untuk kegunaan operasinya.
Ketika ini, kata kenyataan itu, kemasukan cip AI ke Malaysia tidak memerlukan permit atau lesen.
“Bagaimanapun, sejak Julai 2025, mana-mana pihak yang ingin mengeksport, mengeksport semula, memindahkan atau mentransitkan cip AI berprestasi tinggi buatan Amerika Syarikat (AS) dari atau melalui Malaysia perlu mendapatkan permit terlebih dahulu daripada MITI mengikut Akta Perdagangan Strategik 2010,” katanya.
MITI menegaskan pemberian maklumat palsu kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berhubung barangan berkenaan juga merupakan kesalahan serius di bawah Akta Kastam 1967.
Sehubungan itu, MITI menambah, kementerian sedang bekerjasama dengan JKDM bagi menentukan sama ada terdapat cip yang dibawa masuk ke Malaysia sebelum ini telah dieksport semula ke negara lain, termasuk memastikan urusan berkenaan mematuhi peruntukan undang-undang.
“Malaysia akan menjalankan pemeriksaan sendiri secara bebas berdasarkan undang-undang negara dan bukti yang tersedia.
“MITI turut memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa Singapura dan AS serta sedang mempertimbangkan langkah tambahan bagi memperketat kawalan sekiranya perlu,” kata kenyataan itu.
MITI menjelaskan Malaysia tidak menguatkuasakan kawalan eksport unilateral yang dikenakan negara lain, namun semua syarikat yang beroperasi di negara ini dijangka mengambil kira kawalan sedemikian dalam urusan perniagaan antarabangsa masing-masing.
MITI turut mengingatkan syarikat supaya tidak memberikan gambaran salah mengenai urusan atau hubungan mereka dengan agensi kerajaan.
Tegasnya, Malaysia kekal mengalu-alukan pelaburan dalam sektor pusat data dan teknologi, namun tidak akan membenarkan negara ini dijadikan laluan untuk mengelak kawalan eksport antarabangsa.
“Kerajaan juga akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat yang didapati melanggar undang-undang Malaysia,” katanya.






