
KLUANG: Polis giat mengesan seorang individu yang disyaki mengikat leher seekor kucing menggunakan tali sebelum menggantung haiwan itu di luar tingkap sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Batu 2, Jalan Mersing, di sini.
Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian itu dikesan selepas video berdurasi tujuh saat memaparkan perbuatan berkenaan tular di laman Facebook This Is Johor pukul 6.30 petang semalam.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek yang menaiki kenderaan pacuan empat roda itu bertindak mengikat leher kucing berkenaan dengan tali sebelum menggantungnya di luar tingkap kenderaan.
“Berikutan kejadian itu, satu laporan polis sudah dibuat dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap haiwan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Katanya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menerusi talian 07-7784222 bagi membantu siasatan.







