
CHUKAI: Kemunculan seekor buaya tembaga yang dikesan berkeliaran di sekitar jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kemaman di muara Sungai Kemaman sejak semalam mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan orang ramai.
Susulan kejadian itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu melakukan pemantauan berkala di kawasan berkenaan bagi mengesan kehadiran reptilia terbabit.
Pengarah Perhilitan Terengganu, Dennis Ten berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai video tular memaparkan buaya berkenaan berkeliaran berhampiran jeti pukul 4.40 petang semalam.
Katanya, susulan laporan itu, empat anggota Perhilitan Daerah Kemaman digerakkan ke lokasi pukul 8 malam bagi menjalankan pemeriksaan dan siasatan.
“Hasil pemeriksaan di lokasi bagaimanapun tidak menemukan kelibat buaya berkenaan, namun berdasarkan keterangan anggota APMM, reptilia itu dipercayai dilihat semula di kawasan tersebut pada pukul 4 pagi semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya akan meneruskan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan orang ramai selain mengesan pergerakan buaya berkenaan.






