
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan kerajaan Selangor, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta agensi berkaitan supaya mempercepatkan tindakan menangani masalah banjir di negeri itu, termasuk meningkatkan kekerapan kerja pembersihan parit dan sungai.
Beliau berkata, arahan itu dibuat susulan Mesyuarat Khas Penyelarasan Bencana Banjir Negeri Selangor semalam yang turut memaklumkan kerajaan negeri menyediakan peruntukan tambahan bagi melaksanakan kerja pembersihan berkenaan.
Katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT), termasuk majlis perbandaran dan majlis daerah, perlu mengambil tindakan segera tanpa sebarang penangguhan.
Menurut beliau, Selangor perlu melaksanakan kerja pembersihan parit dan sungai dengan lebih kerap seperti yang dilakukan di Kuala Lumpur bagi mengurangkan risiko banjir.
“Proses pembersihan parit dan sungai di Kuala Lumpur bukan dua kali setahun, tetapi enam kali setahun dan langkah itu dapat mengurangkan kejadian banjir.
“Apabila berlaku empat atau lima kali banjir di Selangor, ia membebankan rakyat. Walaupun paras air tidak naik tinggi, tetapi jika berlaku sehingga lima kali setahun, keadaan itu memang membebankan dan saya tidak boleh terima,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Madrasathul Gouthiyyah Surau Brickfields, di sini, hari ini.
Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan turut akan mempercepatkan tindakan susulan bagi memastikan usaha menangani masalah banjir dapat dilaksanakan segera, seiring peruntukan tambahan disediakan kerajaan negeri.
Beliau berkata, bantuan kepada mangsa banjir turut ditingkatkan daripada RM1,000 kepada RM2,500, selain bantuan RM500 yang disediakan kerajaan negeri.
“Mulai hari ini, kita ambil tindakan sedaya upaya. Jika hujan terlalu banyak dan paras air naik, itu mungkin kurang dapat dikawal.
“Namun, setiap langkah tambahan yang kita ambil akan dapat mengurangkan beban rakyat,” katanya.





