
PAYA RUMPUT: Tanggungjawab mengundi bukan sekadar memilih wakil rakyat, sebaliknya turut menjadi sebahagian daripada tuntutan perpaduan umat Islam dalam menentukan kepemimpinan negara.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, umat Islam perlu bersatu dan melaksanakan tanggungjawab mengundi bagi memastikan perpaduan terus diperkukuhkan.
Beliau menggunakan perumpamaan mengambil wuduk sebelum menunaikan solat bagi menjelaskan kepentingan kewajipan berkenaan.
“Walaupun wuduk asalnya bukan perkara wajib, ia menjadi wajib apabila seseorang hendak menunaikan solat yang diwajibkan.
“Contohnya, kita ambil wuduk, asalnya tidak wajib, tetapi kalau sembahyang itu wajib, syarat sah sembahyang kena ada wuduk. Maka wuduk kerana hendak sembahyang wajib.
“Begitulah perpaduan. Perpaduan ini wajib bagi orang Islam, kita kena bersatu termasuklah mengundi,” katanya selepas Majlis Perjumpaan Presiden Pas di kediaman Datuk Yasin Sarif di Teratak Jaya, Kampung Paya Rumput, di sini, hari ini.
Mengulas kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Abdul Hadi berkata, ahli Pas perlu memberikan sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) di kawasan yang ditandingi parti itu.
Katanya, ahli BN dan parti komponennya pula perlu memberikan sokongan kepada calon Pas atau Perikatan Nasional (PN) di kawasan yang ditandingi gabungan berkenaan.
Beliau berkata, kerjasama itu perlu diterjemahkan menerusi gerak kerja jentera parti, termasuk membantu calon gabungan masing-masing sepanjang tempoh pilihan raya.
Menurutnya, kerjasama antara BN dan PN di Melaka dilihat lebih tersusun berbanding pengalaman terdahulu, termasuk di Negeri Sembilan dan Johor.







