
KUALA LUMPUR: Hospital Kuala Lumpur (HKL) berjaya menjalankan pembedahan penyambungan semula tangan (hand replantation) terhadap Lans Koperal Thierry Rodger Fendy menerusi prosedur mikrosurgeri kompleks yang mengambil masa lapan jam.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pembedahan tersebut membabitkan kepakaran pasukan Pakar Subkepakaran Anggota Atas dan Mikrosurgeri HKL yang diketuai Dr. Allan Ravi Rajagopal dan Dr. Aziz Sabbir Husain dengan menggunakan mikroskop pembedahan bagi memastikan prosedur berkenaan dilaksanakan dengan ketelitian tinggi.
“Syabas juga diucapkan kepada pasukan Neurosurgeri HKL yang turut bekerjasama merawat kecederaan di bahagian kepala beliau.
“Dedikasi luar biasa dalam mengendalikan kes kecemasan mikrosurgeri yang sangat kompleks ini amat membanggakan negara.
“Ia sekali gus membuktikan kualiti perkhidmatan perubatan pelbagai disiplin (multidisiplin) di fasiliti kesihatan awam kita berada pada tahap yang cemerlang,” katanya.
Dzulkefly turut menzahirkan penghargaan terhadap keberanian serta pengorbanan Lans Koperal Thierry dalam menjalankan tanggungjawab mempertahankan keselamatan awam.
Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi jaminan bahawa rawatan rapi dan menyeluruh akan diteruskan bagi menyokong proses pemulihan anggota berkenaan, termasuk usaha mengembalikan fungsi tangan pada tahap seoptimum mungkin.
“Sama-sama kita terus mendoakan agar Lans Koperal Thierry dikurniakan kesembuhan yang sempurna, dan semoga ahli keluarganya diberikan ketabahan menghadapi ujian berat ini,” katanya.






