
PUTRAJAYA: Sistem Amaran Kecemasan Negara (EWS) akan menjalani ujian simulasi di kawasan Bangunan Parlimen pada 23 November ini sebelum dilaksanakan secara serentak di seluruh negara pada 29 November.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan melaksanakan hebahan menerusi Khidmat Pesanan Masyarakat (PSA) bagi memberi penerangan kepada orang ramai mengenai bentuk mesej serta bunyi amaran yang bakal diterima pengguna telefon bimbit.
Katanya, hebahan itu penting bagi memastikan orang ramai memahami bahawa notifikasi yang diterima ketika ujian berkenaan adalah sebahagian daripada proses pengujian sistem dan bukannya amaran kecemasan sebenar.
“Kita juga akan minta supaya mesej ataupun khidmat pesanan masyarakat ini disampaikan di semua pawagam, televisyen dan radio.
“Kita juga akan bekerjasama dengan pempengaruh serta platform seperti TikTok untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pelaksanaan sistem amaran awal atau EWS,” katanya selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi bagi November, di sini hari ini.
Fahmi berkata, pelaksanaan EWS tidak memerlukan pengguna memuat turun atau memasang sebarang aplikasi kerana sistem itu berkomunikasi secara terus dengan telefon bimbit yang menyokong penerimaan amaran berkenaan.
Katanya, sistem itu berfungsi sebagai pelengkap kepada kaedah penyampaian amaran sedia ada termasuk khidmat pesanan ringkas (SMS) dan siren yang dipasang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di sepanjang sungai.
“Untuk telefon bimbit lama, pengguna masih akan menerima SMS, tetapi bagi telefon lebih baharu, maklumat akan diterima menerusi EWS dalam bentuk mesej pop-up.
“Kita tidak perlu memasang atau memuat turun sebarang aplikasi kerana sistem ini berkomunikasi terus dengan telefon bimbit dan bukan melalui SMS,” katanya.
Menurutnya, EWS bukan sahaja boleh dimanfaatkan untuk menyampaikan amaran bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan gempa bumi, malah berpotensi digunakan bagi tujuan keselamatan serta ketenteraman awam.
Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga boleh menggunakan sistem berkenaan untuk menyalurkan maklumat penting kepada orang ramai, termasuk berkaitan kehilangan individu atau kanak-kanak.
“Sebagai contoh, sekiranya terdapat individu yang dilaporkan hilang dan dikesan di sesuatu kawasan, maklumat mengenai kejadian itu boleh disampaikan kepada orang ramai.
“Kaedah ini turut diamalkan di beberapa negara lain dengan memanfaatkan sistem penyampaian maklumat yang sama,” katanya.
Beliau berkata, EWS menggunakan pendekatan berasaskan lokasi geografi yang membolehkan notifikasi disampaikan kepada semua pengguna telefon bimbit dalam kawasan ditetapkan.
Ujarnya, maklumat yang disiarkan bersifat umum dan berkemungkinan turut diterima pengguna di kawasan yang tidak terjejas secara langsung.
Mengulas penyebaran mesej amaran banjir menerusi WhatsApp baru-baru ini, Fahmi menjelaskan mesej berkenaan bukan sebahagian daripada pelaksanaan EWS.
Sebaliknya, katanya, EWS menggunakan paparan mesej pop-up yang dihantar terus ke telefon bimbit dan bukannya menerusi SMS atau WhatsApp.






