
KUALA LUMPUR: UMNO mempersoalkan proses penyahklasifikasian dan penyebaran minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan berhubung permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang didakwa dimuat naik oleh bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua, menerusi akaun Facebook beliau.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan menyifatkan tindakan berkenaan sebagai perkara serius yang perlu diberikan perhatian, khususnya kerana ia membabitkan prosiding Lembaga Pengampunan dan kedudukan institusi Yang di-Pertuan Agong.
Asyraf Wajdi menegaskan, kuasa pengampunan, penangguhan dan peringanan hukuman merupakan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Justeru, segala urusan dan dokumen yang berkaitan dengan prosiding Lembaga Pengampunan sewajarnya diuruskan dengan penuh cermat, kerahsiaan dan penghormatan terhadap kedudukan institusi Yang di-Pertuan Agong.
“Persoalan utama yang dibangkitkan ialah sama ada proses penyahklasifikasian dan pendedahan minit mesyuarat berkenaan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Beliau menambah, UMNO berpandangan bahawa perkara yang menyentuh secara langsung prosiding Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Seri Paduka Baginda sewajarnya terlebih dahulu dirujuk kepada Baginda bagi mendapatkan perkenan.
Katanya, UMNO berpandangan penularan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan oleh bekas Ahli Parlimen DAP itu adalah satu bentuk penghinaan dan hasutan yang disengajakan untuk membuka perdebatan dan polemik mempersoalkan, menghina dan meremeh kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
“Sehubungan itu, UMNO mendesak kerajaan memberikan penjelasan segera mengenai proses, asas perundangan serta pihak yang meluluskan penyahklasifikasian minit mesyuarat berkenaan, termasuk sama ada perkenan Yang di-Pertuan Agong telah diperoleh.
“UMNO turut menegaskan sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang atau prosedur, tindakan sewajarnya perlu diambil bagi mempertahankan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu, keluhuran Perlembagaan dan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
“Sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang atau prosedur, tindakan tegas mestilah segera diambil bagi mempertahankan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu, keluhuran Perlembagaan dan menghormati kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong,” katanya.




