
KUALA LUMPUR: Malaysia bakal memperkukuh kedudukan sebagai negara yang memiliki infrastruktur digital lebih berdaya tahan menerusi pelaksanaan projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) bernilai RM2.7 bilion yang menghubungkan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, projek berkenaan melibatkan pembinaan rangkaian kabel dasar laut sepanjang kira-kira 5,500 kilometer dengan 10 stesen pendaratan.
Beliau menambah, ia sekali gus menjadi antara inisiatif penting dalam memperkukuh kesalinghubungan digital serta meningkatkan kapasiti rangkaian telekomunikasi negara.
“Projek berkenaan dilaksanakan oleh Telekom Malaysia (TM) menggunakan teknologi kabel dasar laut daripada syarikat Perancis, Alcatel Submarine Networks (ASN) yang merupakan antara pemain utama dunia dalam pembangunan teknologi komunikasi dasar laut.
“Selain meningkatkan kapasiti penghantaran data, projek itu turut menyediakan laluan alternatif bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan komunikasi sekiranya berlaku gangguan terhadap kabel dasar laut sedia ada,” katanya melalui hantaran di Facebook.
Fahmi menjelaskan, SALAM juga dijangka menyokong keperluan teknologi masa depan termasuk rangkaian 5G, perkhidmatan pengkomputeran awan, kecerdasan buatan (AI) serta pembangunan pusat data yang memerlukan kapasiti penghantaran data berkelajuan tinggi dan stabil.
“Lebih penting, pelaksanaan projek itu mencerminkan komitmen untuk memastikan pembangunan infrastruktur digital negara tidak hanya tertumpu di Semenanjung, sebaliknya turut memperkukuh hubungan dan akses digital di Sabah serta Sarawak,” katanya.





