
KUALA LUMPUR: Penanda arah kiblat yang disemak dan disahkan Jabatan Mufti Negeri Sabah ditempatkan di beberapa hentian rehat sepanjang laluan pendakian Gunung Kinabalu bagi memudahkan pendaki menunaikan ibadah.
Inisiatif berkenaan dilaksanakan sempena misi pendakian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan bersama warga agensi berkenaan yang berjaya menjejakkan kaki ke puncak Gunung Kinabalu dengan penuh kesyukuran.
Menurut hantaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Facebook, penempatan penanda arah kiblat itu mencerminkan keprihatinan terhadap keperluan umat Islam, khususnya pendaki yang berdepan cabaran perjalanan, perubahan keadaan persekitaran serta keterbatasan kemudahan sepanjang laluan pendakian.

“Dengan adanya penanda yang telah disemak dan disahkan pihak berautoriti agama negeri, pendaki dapat menentukan arah kiblat dengan lebih mudah ketika berhenti untuk menunaikan solat.
“Selain memberi perhatian kepada aspek ibadah, misi berkenaan turut menguji keazaman, ketahanan fizikal dan mental peserta yang perlu saling menguatkan sepanjang perjalanan menuju puncak, sambil menghayati kebesaran ciptaan Allah SWT,” kata hantaran berkenaan.
JAKIM menambah, program itu turut diserikan dengan sesi ramah mesra dan penyampaian sumbangan kepada malim gunung di Kinabalu Park sebagai penghargaan atas jasa mereka membantu serta memastikan keselamatan pendaki.
Kata hantaran itu, misi berkenaan merangkumi program bersama komuniti di Kampung Mesilou, Kundasang yang mengeratkan hubungan silaturahim antara warga agensi agama dengan penduduk setempat.

“JAKIM merakamkan penghargaan kepada semua agensi, rakan strategik, petugas, malim gunung dan komuniti setempat, khususnya penduduk Kampung Mesilou, atas kerjasama menjayakan keseluruhan program.
“Usaha berkenaan bukan sahaja memperkukuh ukhuwah dan hubungan dengan masyarakat, malah memperlihatkan kepentingan menyediakan kemudahan mesra ibadah di lokasi pelancongan serta rekreasi, sekali gus memastikan tuntutan agama terus diberi perhatian walau di mana sahaja umat Islam berada,” katanya.






