
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menafikan dakwaan tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp berhubung pelaksanaan ujian Sistem Amaran Awal Nasional pada 19 November ini di Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Pahang.
MCMC dalam kenyataan berkata, aktiviti yang dijadualkan pada tarikh berkenaan sebenarnya adalah ujian teknikal dalaman bagi menilai tahap kesiapsiagaan serta keberkesanan sistem sebelum pelaksanaannya diperluas.
“Justeru, ujian berkenaan bukanlah ujian amaran kepada orang awam di negeri terbabit seperti yang didakwa dalam mesej tular berkenaan.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, khususnya berkaitan sistem amaran keselamatan awam,” katanya.
MCMC turut mengingatkan orang ramai supaya merujuk saluran rasmi suruhanjaya itu bagi mendapatkan perkembangan dan pengumuman terkini mengenai pelaksanaan Sistem Amaran Awal Nasional.
“Semak dahulu sebelum berkongsi,” menurut kenyataan itu.




