
KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur mengenal pasti beberapa lokasi yang menjadi tumpuan warga asing, khususnya dari Afrika termasuk Nigeria, bagi memastikan sebarang aktiviti yang boleh mengganggu ketenteraman awam dapat dibendung.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, lokasi berkenaan meliputi kawasan kediaman, tempat hiburan serta lokasi perhimpunan warga asing yang sentiasa berada dalam pemantauan pihak polis.
Menurutnya, perbezaan budaya dan gaya hidup sosial dalam kalangan warga asing terbabit perlu diberi perhatian bagi mengelakkan sebarang masalah yang boleh menjejaskan keselamatan serta ketenteraman masyarakat setempat.
“Kita (Polis Kuala Lumpur) mengenal pasti lokasi tertentu yang menjadi tumpuan bukan sahaja warga Afrika, khususnya dari Nigeria, malah warga asing lain.
“Justeru, orang ramai dan masyarakat setempat digalakkan menyalurkan maklumat termasuk rakaman video kepada polis bagi membolehkan tindakan segera diambil sekiranya terdapat unsur kesalahan,” katanya selepas menghadiri Majlis Pelupusan Barang Kes Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur di Balai Polis Alam Damai, Cheras, di sini, hari ini.
Fadil berkata, isu sosial membabitkan warga asing termasuk individu dari Afrika turut menjadi antara sasaran operasi bersepadu yang akan dilaksanakan Polis Kuala Lumpur dengan kerjasama beberapa agensi penguat kuasa lain.
Katanya, operasi berkenaan akan dijalankan secara berterusan mengikut keperluan serta kesalahan yang dikenal pasti tanpa mengira kewarganegaraan individu terbabit.
“Tindakan penguatkuasaan turut meliputi kesalahan imigresen dan isu sosial yang dikenal pasti dari semasa ke semasa, namun usaha membanteras jenayah tetap menjadi keutamaan polis.
“Operasi dijalankan secara berterusan dan tidak tertakluk kepada masa tertentu, termasuk bagi menangani isu sosial. Tindakan akan diambil berdasarkan kesalahan yang dikenal pasti tanpa mengira sama ada membabitkan warga Afrika atau warga asing lain,” katanya.
Sebelum ini, Bukit Aman mengesahkan pihaknya menjalankan siasatan berhubung kesahihan dakwaan kewujudan sebuah organisasi jenayah terancang dari Nigeria dikenali sebagai De Norsemen Kclub International (DNKI) atau Vikings di Malaysia.
Dakwaan mengenai kumpulan yang dikaitkan dengan individu dari Afrika itu mendapat perhatian selepas satu hantaran di media sosial mendakwa organisasi berkenaan telah bertapak di negara ini.
Hantaran itu turut mendakwa sebahagian anggota kumpulan terbabit memasuki Malaysia menggunakan visa pelajar sebelum direkrut menjadi ahli.






