
Melahirkan anak bukan bermakna risiko diabetes ketika hamil turut berakhir. Sebaliknya, wanita yang pernah mengalami diabetes gestasi atau kencing manis ketika hamil berdepan risiko lebih tinggi untuk menghidap diabetes jenis 2 pada masa hadapan.
Walaupun paras gula dalam darah lazimnya kembali normal selepas bersalin, risiko tersebut masih ada dan tidak seharusnya dipandang ringan.
Dalam kesibukan menguruskan bayi yang baru dilahirkan, ramai ibu mungkin terlupa atau menangguhkan pemeriksaan kesihatan sendiri. Sedangkan, pemeriksaan susulan amat penting bagi mengesan lebih awal kemungkinan berlakunya pradiabetes atau diabetes jenis 2.
Sempena Hari Diabetes Sedunia pada 14 November lalu, perhatian wajar diberikan kepada kepentingan penjagaan kesihatan ibu selepas bersalin, khususnya bagi mereka yang mempunyai sejarah diabetes gestasi.
Menurut Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF), diabetes gestasi dianggarkan berlaku dalam 15.6 peratus kehamilan di seluruh dunia pada 2024.
Di Malaysia pula, satu kajian mendapati prevalens penyakit itu meningkat daripada 12.5 peratus pada 2016 kepada 27.1 peratus pada 2022.
Menurut Prof. Madya Obstetrik dan Ginekologi, Sekolah Perubatan, Fakulti Sains Kesihatan dan Perubatan, Taylor’s University, Dr. Anitha Ponnupillai, wanita berusia 35 tahun ke atas, khususnya mereka yang mempunyai masalah obesiti, antara golongan yang lebih berisiko mengalami keadaan berkenaan.

Katanya, wanita yang pernah mengalami diabetes gestasi turut mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan penyakit kardiovaskular.
“Jika tidak dikesan lebih awal, diabetes boleh berlarutan selama bertahun-tahun tanpa disedari sehingga mengundang komplikasi serius seperti penyakit jantung, kerosakan buah pinggang dan masalah penglihatan.
“Risiko itu bukan hanya melibatkan ibu, malah boleh memberi kesan kepada anak. Bayi yang terdedah kepada paras gula tinggi ketika dalam kandungan berpotensi menghadapi risiko obesiti dan diabetes apabila dewasa,” katanya kepada Ceritera.
BOLEH DICEGAH
Namun, keadaan itu bukan sesuatu yang tidak boleh dicegah.
“Pemeriksaan awal, perubahan gaya hidup dan sokongan perubatan berterusan mampu membantu mengurangkan risiko komplikasi pada masa hadapan,” kata Dr. Anitha
Antara langkah paling penting selepas melahirkan anak ialah menjalani pemeriksaan diabetes, yang lazimnya disarankan dalam tempoh empat hingga 12 minggu selepas bersalin.
Pemeriksaan itu bertujuan mengenal pasti sama ada seseorang wanita mengalami pradiabetes atau diabetes jenis 2 supaya rawatan dan langkah pencegahan dapat dilakukan lebih awal.
Namun, tidak semua ibu kembali menjalani pemeriksaan seperti yang disarankan.
Tanggungjawab menjaga bayi, komitmen kerja, masalah pengangkutan dan kurang kesedaran mengenai risiko jangka panjang antara faktor yang menyebabkan ramai wanita terlepas temu janji susulan.
“Keputusan pemeriksaan yang normal selepas bersalin tidak bermakna risiko diabetes sudah hilang sepenuhnya,” ujarnya.
Wanita yang mempunyai sejarah diabetes gestasi perlu meneruskan pemeriksaan gula dalam darah secara berkala, termasuk selepas beberapa tahun melahirkan anak.
Justeru, pemeriksaan selepas bersalin tidak sepatutnya dianggap sebagai pilihan semata-mata, sebaliknya perlu menjadi sebahagian daripada penjagaan kesihatan sepanjang kehamilan hingga selepas kelahiran.
JAGA PEMAKANAN, KEKAL AKTIF
Selain pemeriksaan berkala, perubahan gaya hidup juga memainkan peranan penting dalam mengurangkan risiko diabetes.
Menurut Dr. Anitha, ibu digalakkan mengamalkan konsep Pinggan Sihat Malaysia atau Suku-Suku Separuh yang menekankan pengambilan makanan seimbang.
Caranya mudah iaitu separuh pinggan diisi buah-buahan dan sayur-sayuran, manakala satu perempat untuk bijirin penuh atau sumber karbohidrat yang lebih sihat dan baki satu perempat lagi untuk protein tanpa lemak.
“Pengambilan minuman manis, makanan bergula dan makanan terproses juga perlu dikurangkan bagi membantu mengawal paras gula dalam darah.
“Pada masa sama, aktiviti fizikal tidak harus diabaikan. Wanita disarankan melakukan sekurang-kurangnya 150 minit senaman berintensiti sederhana setiap minggu, mengikut kesesuaian keadaan kesihatan masing-masing.
“Aktiviti seperti berjalan pantas, berbasikal, berenang dan yoga boleh dilakukan secara berperingkat selepas bersalin,” katanya.
Mengekalkan berat badan sihat serta membudayakan pemakanan seimbang bukan sahaja memberi manfaat kepada ibu, malah seluruh keluarga, terutama anak-anak yang mula membentuk tabiat pemakanan dan aktiviti fizikal di rumah.
Penyusuan susu ibu juga berpotensi memberikan manfaat terhadap kesihatan metabolik dalam jangka panjang, dengan sokongan keluarga dan petugas kesihatan.
Selain kesihatan fizikal, perancangan keluarga dan nasihat berkaitan kehamilan seterusnya turut penting memandangkan diabetes gestasi boleh berulang.
Kesihatan emosi ibu juga tidak boleh diketepikan, terutama bagi mereka yang berdepan keresahan, tekanan atau kemurungan selepas bersalin susulan komplikasi ketika hamil.
SOKONGAN BERTERUSAN
Dalam memastikan ibu tidak tercicir daripada pemeriksaan susulan, sokongan petugas kesihatan seperti doktor keluarga, jururawat, pakar dietetik dan pendidik diabetes amat diperlukan.
Penggunaan teknologi digital seperti aplikasi telefon pintar, konsultasi telekesihatan dan peringatan automatik juga boleh membantu ibu mengingati jadual pemeriksaan serta mendapatkan nasihat perubatan.
Walaupun akses internet masih menjadi cabaran di sesetengah kawasan, kemudahan digital itu boleh melengkapi perkhidmatan kesihatan sedia ada, khususnya bagi wanita yang berdepan kesukaran untuk hadir ke klinik.

“Penjagaan kesihatan ibu tidak seharusnya terhenti selepas kelahiran bayi,” ujar Dr. Anitha.
Bagi wanita yang pernah mengalami diabetes gestasi, tempoh selepas bersalin merupakan fasa penting untuk beralih daripada mengawal komplikasi ketika hamil kepada usaha menjaga kesihatan dalam jangka panjang.
Pemeriksaan berkala, sokongan perubatan dan amalan gaya hidup sihat mampu membantu mengurangkan risiko diabetes serta komplikasinya.
Dengan memastikan ibu terus mendapat perhatian dan penjagaan sewajarnya selepas bersalin, kesihatan mereka dan generasi akan datang juga dapat dilindungi.







