
TANJONG MALIM: PROTON mencatatkan dua pencapaian penting dalam operasi tahun ini apabila berjaya melepasi 10,000 unit eksport, selain merekodkan jumlah pengeluaran bulanan tertinggi dalam tempoh 24 tahun.
Pengeluar kereta nasional itu berjaya mencapai angka eksport berkenaan dalam tempoh lebih 10 bulan, sekali gus meletakkan syarikat di landasan untuk mencatatkan peningkatan eksport lebih dua kali ganda berbanding 2025.
Lebih membanggakan, kilang PROTON di Tanjong Malim turut merekodkan pengeluaran sebanyak 23,006 unit pada Oktober 2026, menjadikannya pencapaian pengeluaran bulanan tertinggi syarikat dalam tempoh lebih dua dekad.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Ir. Abdul Rashid Musa berkata,, kejayaan itu mencerminkan peningkatan keupayaan pembuatan, kecekapan operasi serta komitmen syarikat dalam memenuhi permintaan pelanggan di pasaran domestik dan antarabangsa.
“Pencapaian eksport melebihi 10,000 unit turut menandakan perkembangan penting dalam strategi pengembangan perniagaan PROTON di peringkat antarabangsa, selain memperkukuh peranannya sebagai hab pengeluaran kenderaan Geely.
“Dalam masa sama, rekod pengeluaran 23,006 unit membuktikan kemampuan pasukan pembuatan menguruskan peningkatan permintaan pasaran, khususnya susulan sambutan berterusan terhadap model-model terbaharu PROTON di seluruh negara,” katanya.

Beliau menambah, 2026 merupakan tahun yang menyaksikan pelbagai pencapaian penting bagi syarikat, didorong kejayaan pelancaran model baharu yang meningkatkan permintaan di pasaran domestik dan antarabangsa.
Katanya, pertumbuhan ketara jumlah eksport turut disokong usaha berterusan barisan pengeluaran untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran setiap bulan.
Abdul Rashid menambah, bagi menghargai sumbangan warga kerjanya, PROTON menganjurkan majlis penghargaan khas pada 12 November lalu yang menghimpunkan pihak pengurusan dan kakitangan syarikat.

“Majlis ringkas ini merupakan satu bentuk penghargaan kepada seluruh warga kerja yang telah merealisasikan pencapaian ini, walaupun sumbangan mereka mungkin tidak begitu mendapat perhatian umum berbanding mereka yang bertugas di barisan hadapan.
“Daripada operator pengeluaran dan jurutera kepada pasukan jaminan kualiti, logistik serta fungsi sokongan, setiap daripada mereka memainkan peranan penting dalam menjayakan pencapaian ini,” katanya.
Menurut beliau, komitmen dan sokongan seluruh warga kerja akan terus menjadi elemen penting dalam memacu pertumbuhan serta pengembangan PROTON pada masa hadapan.
Katanya, pencapaian berganda itu bukan sahaja menggambarkan peningkatan prestasi operasi syarikat, malah memperlihatkan peranan tenaga kerja tempatan dalam memperkukuh daya saing industri automotif Malaysia di pasaran global.







