
KUALA LUMPUR: Selepas lebih dua dekad mewarnai industri muzik, penyanyi reggae dan dancehall, Sasi The Don, bergandingan dengan penyanyi rock terkenal, Datuk Awie menerusi single terbaharu berjudul Oh My Kawan.
Diterbitkan menerusi kerjasama Sony Music Entertainment Malaysia dan Tuff N Loud Worldwide, lagu itu mengangkat tema persahabatan, kebersamaan serta semangat perpaduan masyarakat Malaysia.
Menariknya, kolaborasi berkenaan menggabungkan pengaruh muzik reggae dan dancehall Sasi The Don dengan identiti rock serta karakter vokal tersendiri Awie, sekali gus menghasilkan karya yang menyatukan dua generasi dan latar muzik berbeza.
Ditulis, digubah dan diarahkan secara kreatif oleh Sasi The Don, Oh My Kawan membawa mesej menghargai persahabatan, kenangan bersama serta perjalanan hidup yang lebih bermakna apabila dikongsi dengan insan tersayang.
Projek itu turut mendapat kerjasama jenama kenderaan elektrik Proton e.MAS menerusi kempen Friendship Powered by Proton e.MAS yang menggabungkan muzik, teknologi automotif dan gaya hidup.
Ketua Pegawai Penjenamaan PRO-NET, Salawati Mohd Yusoff berkata, kerjasama itu bertujuan mengukuhkan hubungan Proton e.MAS dengan rakyat Malaysia melalui mesej persahabatan, pengalaman bersama dan kenangan bermakna.
Sementara itu, Sasi The Don yang dikenali sebagai antara perintis muzik reggae dan dancehall di Asia, terus membawa misi memperkenalkan muzik Malaysia ke peringkat antarabangsa menerusi gabungan kreativiti, budaya dan kerjasama rentas industri.
Lagu Oh My Kawan nyanyian Sasi The Don menampilkan Awie akan mula distrim di semua platform muzik utama pada 20 November 2026, manakala video muzik rasminya turut dilancarkan pada tarikh sama menerusi YouTube.







