
KUALA LUMPUR: Institut Sukan Negara (ISN) sedia bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta agensi berkaitan bagi menyediakan sokongan kepakaran dan kebajikan kepada atlet angkat berat kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Roslin.
Muhammad Hafizuddin perlu menjalani prosedur pemotongan tangan kanan susulan kecederaan serius akibat kemalangan jalan raya baru-baru ini.
ISN dalam satu kenyataan menzahirkan rasa dukacita dan simpati terhadap nasib atlet berkenaan, selain mendoakan agar Hafizuddin diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi ujian besar itu.
Menurut ISN, kebajikan dan kesejahteraan atlet merupakan tanggungjawab yang melangkaui pencapaian dalam arena pertandingan, justeru sokongan terhadap Hafizuddin perlu merangkumi aspek kesihatan fizikal, psikologi dan penyesuaian kehidupan seharian.
“Proses pemulihan memerlukan pendekatan menyeluruh dan berperingkat dengan sokongan multidisiplin membabitkan kepakaran perubatan sukan, rehabilitasi, fisioterapi, psikologi sukan serta sains sukan, tertakluk kepada penilaian klinikal dan keperluan individu.
“Sehubungan itu, ISN bersedia bekerjasama dan menyelaras dengan KBS, Majlis Sukan Negara (MSN), Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) serta pihak berkaitan bagi mengenal pasti bentuk sokongan kepakaran yang bersesuaian untuk Hafizuddin sepanjang perjalanan pemulihannya.
“Perjalanan seseorang atlet tidak seharusnya dinilai semata-mata berdasarkan keupayaan untuk kembali bertanding, sebaliknya turut mengambil kira kualiti hidup, kesejahteraan mental, keyakinan diri dan peluang meneruskan kehidupan dengan sokongan sewajarnya,” menurut kenyataan itu.
Hafizuddin sebelum ini mengharumkan nama negara apabila meraih pingat emas kategori 88 kilogram lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Lebih membanggakan, beliau turut mencipta rekod kebangsaan dan rekod temasya menerusi acara snatch, sekali gus membuktikan keupayaan serta semangat juangnya sebagai antara atlet angkat berat terbaik negara.
Sehubungan itu, ISN menyeru warga sukan dan seluruh rakyat Malaysia agar terus memberikan sokongan moral kepada Hafizuddin serta menghormati privasi beliau dan keluarga sepanjang tempoh rawatan dan pemulihan.
“Jasa dan sumbangan anda kepada sukan negara sentiasa dihargai,” kata kenyataan itu.






