
KUALA LUMPUR: Juara dunia Formula Satu (F1) tujuh kali, Lewis Hamilton, meluahkan rasa sebak selepas bertemu sekumpulan kanak-kanak Palestin yang dipindahkan dari Gaza ke Mesir susulan konflik berterusan di wilayah berkenaan.
Menerusi perkongsian di media sosial, Hamilton berkata, pertemuan itu memberi kesan mendalam kepadanya apabila melihat sendiri penderitaan kanak-kanak yang terpaksa melalui pengalaman traumatik, kehilangan insan tersayang serta kecederaan serius akibat peperangan.
“Sebahagian kanak-kanak terbabit mengalami kecederaan parah termasuk akibat tembakan dan melecur teruk dalam serangan, sekali gus masih memerlukan rawatan serta proses pemulihan yang panjang,” kongsinya lagi.
Bagaimanapun, di sebalik penderitaan itu, beliau terkesan dengan ketabahan mereka serta keupayaan untuk terus mencari kegembiraan ketika bersama rakan senasib.
Lebih menyentuh perasaan Hamilton apabila kanak-kanak berkenaan menyatakan impian untuk menjadi guru dan doktor supaya dapat membantu orang lain, sebagaimana mereka pernah menerima bantuan ketika berada dalam kesusahan.
Hamilton turut berpeluang mengunjungi sekolah, hospital dan pusat kesihatan mental yang menyediakan sokongan psikologi bagi membantu kanak-kanak berkenaan menangani trauma akibat peperangan.
Beliau juga mengunjungi kediaman beberapa keluarga bagi mendengar sendiri kisah pemulihan serta penderitaan mereka yang terpisah daripada ahli keluarga termasuk anak, ibu bapa dan adik-beradik.
“Kesedihan akibat perpisahan serta ketidaktentuan mengenai nasib insan tersayang adalah sesuatu yang sukar dibayangkan.
“Kisah mereka mengingatkan saya kepada nasib kanak-kanak yang masih berada di Gaza dan terpaksa menjalani kehidupan dalam keadaan serba kekurangan serta ancaman keselamatan.
“Terdapat lebih 21,500 kanak-kanak dilaporkan terbunuh manakala 45,000 lagi cedera sejak Oktober 2023,” katanya.
Hamilton menegaskan bahawa kehidupan kanak-kanak Palestin sama berharga seperti kanak-kanak lain dan mereka juga berhak menikmati keselamatan, pendidikan serta peluang untuk membesar bersama keluarga.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Dr Hazem dan pasukan organisasi kemanusiaan International Network for Aid, Relief and Assistance (INARA) atas usaha menyediakan rawatan perubatan, sokongan kesihatan mental, pendidikan serta bantuan kepada keluarga kanak-kanak terbabit.
Hamilton berharap masyarakat antarabangsa terus memberikan sokongan kepada organisasi kemanusiaan seperti INARA, menggunakan suara masing-masing dan tidak melupakan nasib kanak-kanak Palestin.
Tegasnya, kanak-kanak berkenaan berhak mendapat lebih daripada sekadar peluang untuk terus hidup, sebaliknya mereka wajar diberikan kebebasan untuk membesar, mengejar impian dan menikmati zaman kanak-kanak tanpa dibayangi penderitaan peperangan.







