
MANCHESTER: Manchester United mengesahkan Michael Carrick meninggalkan jawatannya sebagai ketua jurulatih pasukan utama lelaki selepas kelab itu memutuskan perubahan perlu dilakukan bagi memastikan sasaran dan aspirasi pasukan dapat dicapai.
Carrick yang kembali menyertai kelab berkenaan pada Januari lalu, berjaya membimbing Manchester United menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2025/26 di tempat ketiga.
Bekas pemain tengah itu mencatat pencapaian memberangsangkan apabila membantu pasukan meraih 12 kemenangan daripada baki 17 perlawanan musim berkenaan, sekali gus mengumpul mata tertinggi dalam liga sepanjang tempoh tersebut.
Bagaimanapun, permulaan musim yang mengecewakan mendorong pihak pengurusan kelab mengambil keputusan sukar untuk melakukan perubahan pada posisi ketua jurulatih.
Dalam kenyataan rasmi, Manchester United menyifatkan Carrick sebagai legenda kelab yang akan sentiasa dihargai atas sumbangan dan khidmat baktinya, sama ada ketika bergelar pemain mahupun kembali menggalas tanggungjawab sebagai jurulatih.
Kelab itu turut memuji tahap dedikasi, profesionalisme dan kepimpinan Carrick sepanjang tempoh perkhidmatannya, selain mengiktiraf pencapaian yang dilakar bersama pasukan pada musim lalu.
Manchester United menegaskan sumbangan serta kejayaan Carrick akan terus dikenang oleh kelab dan penyokong.
“Usaha sedang dilakukan untuk melantik pengganti tetap Carrick dalam tempoh secepat mungkin,” kata kenyataan itu.
Keputusan itu sekali gus membuka lembaran baharu buat Manchester United yang kini perlu mencari individu sesuai untuk mengemudi pasukan kembali ke landasan kejayaan.







