
PUTRAJAYA: Atlet acara berpasukan negara yang memenangi pingat emas pada temasya Sukan Asia, Sukan Para Asia dan Sukan Komanwel bakal menikmati peningkatan ganjaran sehingga RM40,000 seorang menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, kenaikan itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN) sekali gus menjadi pelarasan pertama skim berkenaan dalam tempoh 24 tahun.
“Menerusi penstrukturan semula itu, ganjaran pingat emas bagi atlet acara berpasukan dinaikkan daripada RM15,000 kepada RM40,000 seorang, manakala perak meningkat daripada RM8,000 kepada RM20,000 dan gangsa daripada RM4,000 kepada RM10,000 seorang.
“Pemberian ganjaran itu tidak tertakluk kepada had bilangan atlet dalam sesebuah pasukan, sekali gus memastikan setiap atlet yang menyumbang kepada kejayaan negara menerima pengiktirafan sewajarnya,” katanya.
Menurutnya, kenaikan berkenaan terpakai kepada tiga temasya utama pada 2026 dan turut membolehkan 66 atlet daripada 10 pasukan yang memenangi pingat pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 menerima bayaran tambahan.
“Langkah ini membabitkan peruntukan tambahan sebanyak RM1.152 juta, termasuk insentif kepada jurulatih menerusi Skim Galakan Jurulatih Kebangsaan.
“Ia merupakan pengiktirafan terhadap pengorbanan, komitmen dan sumbangan atlet serta jurulatih yang bekerja keras membawa nama negara ke pentas antarabangsa,” katanya pada sidang media di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), di sini semalam.
Hadir sama ialah Ketua Setiausaha KBS, Datuk Rahimi Ismail dan Chef de Mission (CDM) Malaysia ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, Datuk Mohd Sumali Reduan.
Beliau menambah, inisiatif berkenaan turut dilihat sebagai langkah memperkukuh motivasi atlet negara dalam menghadapi cabaran pertandingan antarabangsa, khususnya menjelang penganjuran Sukan SEA 2027 yang bakal berlangsung di Malaysia.
Katanya, kenaikan ganjaran itu juga mencerminkan komitmen kerajaan untuk terus memperkasakan ekosistem sukan negara serta memastikan pencapaian atlet dalam acara berpasukan diberikan pengiktirafan yang setimpal.






