
KUALA LUMPUR: Malaysian Football League (MFL) menyerahkan laporan lengkap berserta bukti insiden kekecohan membabitkan pemain dan pegawai Kuching City FC serta Selangor FC ketika aksi Separuh Akhir Kedua Piala FA di Stadium Taha Ariffin, Kuching, Ahad lalu kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk tindakan lanjut.
Penyerahan itu dibuat selepas MFL selesai mengumpulkan semua laporan berkaitan insiden berkenaan daripada komisioner perlawanan, koordinator perlawanan, kumpulan pengadil, penilai pengadil dan Ketua Pegawai Medan.
MFL dalam satu kenyataan berkata, semua maklumat berkenaan diserahkan kepada FAM untuk penelitian serta tindakan menerusi Jawatankuasa Tatatertib badan induk itu, selaras dengan bidang kuasa yang diperuntukkan.
“Dalam masa sama, MFL turut meneliti dan mengkaji kemungkinan tindakan susulan yang boleh diambil berdasarkan peraturan serta bidang kuasa badan pengelola liga berkenaan.
“MFL memandang serius insiden yang berlaku dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati terbabit mencetuskan kekecohan serta melakukan tindakan tidak wajar,” tegas kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, sebarang perlakuan yang mencemarkan imej bola sepak negara dan mengetepikan prinsip semangat kesukanan tidak boleh diterima.
MFL turut menekankan kepentingan memastikan setiap perlawanan berlangsung dalam suasana profesional, terkawal dan menjunjung tinggi nilai kesukanan, termasuk dalam kalangan pemain serta pegawai pasukan.







