
DUSSELDORF: Kelab bola sepak Borussia Dortmund memperkenalkan ciri baharu dalam aplikasi rasminya bagi menggalakkan penyokong mengurangkan penggunaan telefon pintar ketika menyaksikan perlawanan di stadium, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Ciri yang dikenali sebagai “Fan Mode” itu boleh diaktifkan menerusi aplikasi kelab pada hari perlawanan.
Apabila diaktifkan, aplikasi berkenaan akan merekodkan tempoh skrin telefon dikunci, dengan penyokong memperoleh mata bagi setiap minit mereka tidak menggunakan peranti itu.
Penyokong boleh menggunakan telefon pintar masing-masing ketika waktu rehat separuh masa, namun perlu mengaktifkan semula ciri berkenaan bagi separuh masa kedua. Pengumpulan mata akan tamat sebaik sahaja wisel penamat dibunyikan.
Peserta yang mengumpul mata tertinggi berpeluang memenangi pelbagai hadiah, termasuk jersi Dortmund yang ditandatangani pemain serta baucar pembelian di kedai barangan rasmi kelab.
Menurut kelab itu, hampir dua pertiga penyokong bola sepak di tempat duduk penonton kerap menggunakan telefon pintar ketika perlawanan berlangsung.
“Semakin ramai penyokong berasa terganggu dengan aktiviti swafoto, penstriman dan penggunaan media sosial di tempat duduk penonton,” menurut kenyataan kelab itu mengenai ciri baharu berkenaan yang akan diperkenalkan pada perlawanan Bundesliga menentang Eintracht Frankfurt, Sabtu ini.
“Simpan telefon pintar anda di dalam poket dan nikmati perlawanan dengan sepenuh pancaindera,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA-DPA







