
KUALA LUMPUR: Pendakwah terkenal, Ustaz Wadi Annuar dilaporkan terbabit dalam kemalangan di Gerik, Perak, awal pagi tadi.
Perkara itu dikongsikan menerusi satu hantaran di laman Facebook milik pendakwah itu yang memaklumkan beliau bersama beberapa individu lain terbabit dalam kemalangan kenderaan.
“Dukacita dimaklumkan bahawa Ustaz Wadi Annuar bersama beberapa orang staf terbabit dalam kemalangan sewaktu dalam perjalanan di Gerik, Perak.
“Pada hari Jumaat yang mulia ini, kami memohon jasa baik orang ramai untuk mendoakan keselamatan dan kesejahteraan beliau serta semua yang terbabit.
“Semoga Allah SWT melindungi mereka, mengurniakan pertolongan serta mempermudah segala urusan,” menurut hantaran itu.

Menurut hantaran terbaharu, Wadi Annuar mengalami kecederaan ringan dan berada dalam keadaan stabil.
Katanya, dia belum menerima kunjungan ziarah buat sementara waktu dan memohon jasa baik semua agar memberi ruang kepada beliau untuk berehat.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mendoakan agar Ustaz Wadi Annuar dikurniakan kesembuhan selepas terlibat dalam kemalangan terbabit.
“Semoga Ustaz segera pulih dan kembali berbakti menyampaikan ilmu serta dakwah kepada masyarakat,” katanya.




