
SEBAGAI rakyat Malaysia, kita memang bertuah kerana membesar dengan pelbagai pilihan makanan yang menyelerakan.
Daripada nasi lemak dan roti canai hinggalah kepada mi goreng serta kuih-muih tradisional, ada sahaja hidangan yang boleh dinikmati setiap hari.
Namun, apabila tiba waktu makan bersama anak, suasananya tidak semestinya semeriah yang dibayangkan. Ada anak yang menolak nasi, enggan menyentuh sayur dan hanya mahu makan nuget atau kentang goreng. Lebih mencabar, makanan yang sudah disediakan dengan penuh kasih sayang akhirnya dibiarkan begitu sahaja.
Situasi ini tentu membuatkan ibu bapa pening kepala. Hendak dipaksa, bimbang anak semakin enggan makan. Jika dibiarkan pula, timbul kebimbangan sama ada keperluan nutrisi mereka mencukupi.
Sebenarnya, tabiat memilih makanan atau picky eating merupakan perkara yang lazim berlaku dalam kalangan kanak-kanak, khususnya ketika mereka mula membesar. Dianggarkan antara 25 hingga 66 peratus kanak-kanak kecil mengalami keadaan ini.

Menurut Pakar Perunding Pediatrik Pusat Perubatan Ara Damansara, Dr. Sheena Davahran, tabiat memilih makanan lazimnya sebahagian daripada perkembangan normal kanak-kanak dan tidak semestinya menandakan mereka mempunyai masalah pemakanan.
Usia dua tahun mula banyak kerenah makan
Pernah anak yang dahulu berselera menikmati pelbagai jenis makanan tiba-tiba menolak hidangan kegemarannya sendiri?
Jangan terlalu terkejut kerana perubahan itu boleh berlaku apabila mereka memasuki usia kanak-kanak kecil.
Tabiat memilih makanan biasanya mula kelihatan ketika anak berusia antara 18 bulan hingga dua tahun.
Pada peringkat ini, mereka sedang belajar berdikari dan mula mahu menentukan pilihan sendiri.
Makanan juga menjadi salah satu cara untuk mereka menunjukkan kehendak. Jika dahulu anak mudah menerima apa sahaja yang disuapkan, kini mereka mungkin mahu memilih sendiri apa yang masuk ke dalam mulut.

Sebab itulah ada anak yang tiba-tiba tidak mahu makan sayur, menolak ikan atau hanya mahu makanan yang sama setiap hari.
Bagi kebanyakan kanak-kanak, keadaan ini merupakan sebahagian daripada proses perkembangan mereka.
Apabila usia semakin meningkat, terutama ketika memasuki alam prasekolah dan sekolah rendah, kebanyakan mereka akan mula lebih terbuka untuk mencuba makanan yang berbeza.
Bagaimanapun, setiap anak mempunyai perkembangan tersendiri. Ada yang cepat menerima makanan baharu, manakala ada juga yang memerlukan lebih banyak masa dan pendedahan sebelum berani mencuba.
Mengapa nuget dan kentang goreng lebih digemari?
Tidak sukar untuk memahami mengapa nuget dan kentang goreng sering menjadi pilihan utama kanak-kanak.
Kedua-duanya mempunyai rasa dan tekstur yang mudah diterima, selain rupa serta penyediaannya yang sudah biasa bagi mereka.
Makanan diproses juga boleh mempunyai kandungan garam dan tenaga yang tinggi, menjadikannya pilihan yang mudah disukai oleh sesetengah kanak-kanak.

Namun, apabila makanan seperti ini menjadi pilihan utama sehingga anak menolak hampir semua makanan lain, ibu bapa perlu mula mencari jalan untuk mempelbagaikan pemakanan mereka.
Melarang terus makanan kegemaran anak bukan semestinya penyelesaian terbaik.
Larangan yang terlalu ketat boleh mencetuskan keinginan yang lebih kuat, terutama apabila mereka melihat adik-beradik atau rakan menikmati makanan tersebut.
Sebaliknya, ibu bapa boleh mengawal pengambilan makanan berkenaan sambil memperkenalkan pilihan yang lebih berkhasiat secara berperingkat.
Jangan paksa, cuba ubah cara penyediaan
Jika anak hanya mahu makan nuget, ibu bapa boleh mencuba menyediakan nuget ayam sendiri di rumah.
Begitu juga dengan kentang goreng yang boleh digantikan dengan kentang segar yang dibakar menggunakan sedikit minyak.
Cara ini membolehkan ibu bapa mengawal bahan yang digunakan dan menyediakan hidangan yang lebih seimbang tanpa perlu membelanjakan wang yang banyak.
Anak yang mula bosan dengan ayam atau ikan pula boleh diperkenalkan kepada sumber protein lain seperti telur, tauhu dan kekacang.
Kadangkala, perubahan kecil pada cara penyediaan makanan sudah cukup untuk menarik perhatian anak.
Sayur-sayuran, misalnya, boleh dipotong dalam bentuk yang menarik atau dicampurkan ke dalam hidangan yang sudah biasa mereka makan.
Apa yang penting, jangan cepat berputus asa jika anak menolak makanan yang ditawarkan buat kali pertama.
Teruskan memperkenalkan makanan berbeza secara berulang tanpa memaksa mereka menghabiskannya.
Berikan anak masa untuk mengenali rasa, bau dan tekstur makanan baharu. Semakin kerap mereka didedahkan kepada pilihan yang pelbagai dalam suasana positif, semakin besar peluang mereka untuk menerimanya.

Makan bersama, anak lebih mudah meniru
Anak-anak banyak belajar melalui pemerhatian, termasuk ketika waktu makan. Apabila ibu bapa dan ahli keluarga lain menikmati hidangan yang sama, mereka berpeluang melihat sendiri bagaimana makanan itu dimakan.
Jika ibu bapa mahu anak makan sayur, misalnya, tunjukkan contoh dengan turut menikmati sayur di dalam pinggan sendiri.
Sebaliknya, agak sukar untuk menggalakkan anak memilih makanan berkhasiat jika mereka melihat orang dewasa di sekeliling lebih kerap mengambil makanan kurang sihat.
Waktu makan bersama keluarga juga boleh dijadikan peluang untuk membina hubungan yang lebih baik dengan makanan.
Berikan anak pinggan, sudu dan peralatan makan sendiri mengikut kesesuaian usia supaya mereka berasa lebih terlibat.
Tidak perlu menjadikan setiap waktu makan sebagai medan untuk memujuk atau memarahi anak.
Suasana yang tenang dan menyeronokkan boleh membantu mereka menikmati pengalaman makan tanpa tekanan.

Telefon dan tablet bukan teman makan
Ada ibu bapa yang memberikan telefon atau tablet kepada anak supaya mereka duduk diam dan menghabiskan makanan. Walaupun cara ini mungkin memudahkan keadaan dalam jangka pendek, penggunaan skrin ketika makan boleh mengalihkan perhatian anak daripada hidangan di hadapan mereka.
Anak mungkin terus menyuap makanan tanpa benar-benar memberi perhatian kepada rasa, tekstur atau isyarat kenyang yang dirasai.
Sedangkan waktu makan bukan sekadar untuk mengisi perut. Inilah masanya anak belajar mengenali pelbagai jenis makanan, memahami rasa lapar dan kenyang serta membina tabiat pemakanan yang baik.
Justeru, cuba jadikan waktu makan sebagai tempoh bebas skrin untuk seluruh keluarga. Ibu bapa juga boleh berbual dengan anak mengenai makanan yang dihidangkan bagi menjadikan pengalaman itu lebih menarik.
Anak makan sedikit, perlu risau atau tidak?
Ibu bapa tidak semestinya perlu panik apabila anak makan sedikit pada satu-satu waktu makan. Selera kanak-kanak boleh berubah mengikut aktiviti, keadaan badan dan tahap perkembangan mereka.
Apa yang lebih penting ialah melihat pengambilan makanan secara keseluruhan sepanjang hari, bukan hanya berdasarkan satu hidangan.
Jika anak kurang berselera ketika makan tengah hari, misalnya, ibu bapa boleh menawarkan snek berkhasiat pada waktu yang sesuai seperti buah-buahan, roti, telur atau makanan lain yang membantu melengkapkan keperluan nutrisi mereka.
Pada masa sama, elakkan memberikan terlalu banyak snek atau minuman manis sehingga anak tidak berasa lapar apabila tiba waktu makan utama.
Ibu bapa juga boleh mencatat jenis makanan yang diambil anak untuk melihat sama ada mereka mendapat pelbagai sumber nutrien, termasuk protein, karbohidrat, lemak sihat, vitamin dan mineral.
Namun, pemantauan ini tidak perlu dilakukan secara berlebihan sehingga setiap waktu makan menjadi sesuatu yang membebankan.

Bila tabiat memilih makanan perlu diberi perhatian?
Walaupun memilih makanan lazimnya sebahagian daripada perkembangan normal kanak-kanak, ibu bapa perlu lebih peka sekiranya keadaan itu berpanjangan sehingga menjejaskan tumbesaran atau kesihatan mereka.
Antara tanda yang perlu diperhatikan termasuklah berat badan atau tumbesaran yang tidak bertambah dengan baik, tanda kekurangan zat seperti anemia, reaksi melampau terhadap makanan seperti loya atau muntah, serta pengambilan hanya beberapa jenis makanan untuk tempoh yang panjang.
Keadaan ini mungkin berkaitan dengan masalah deria, keengganan terhadap makanan atau gangguan pemakanan yang memerlukan penilaian lanjut.
Jika anak semakin mengehadkan pilihan makanan atau ibu bapa bimbang keperluan nutrisinya tidak mencukupi, dapatkan nasihat doktor. Pemeriksaan kesihatan berkala juga membantu memantau tumbesaran dan perkembangan anak serta mengenal pasti masalah lebih awal.
Akhirnya, menghadapi anak yang memilih makanan memerlukan kesabaran dan pendekatan yang konsisten. Tidak semua anak akan terus menyukai sayur atau menerima makanan baharu dalam sehari dua.
Ibu bapa tidak perlu berlumba-lumba memastikan anak makan semua jenis makanan dengan segera. Sebaliknya, teruskan menawarkan pilihan yang pelbagai, tunjukkan contoh yang baik dan wujudkan suasana makan yang positif.






