
KUALA LUMPUR: Prestasi aplikasi navigasi tempatan, TuJu, disifatkan mengecewakan dan dipersoalkan kesediaannya untuk menjadi alternatif kepada platform navigasi popular, Waze.
Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, beliau sendiri sudah memuat turun aplikasi berkenaan, namun mendapati prestasinya masih belum memuaskan.
Menurutnya, maklum balas orang ramai turut menunjukkan aplikasi itu masih mempunyai pelbagai kekurangan yang perlu diperbaiki sebelum dapat digunakan secara meluas.
“Saya sendiri sudah muat turun aplikasi TuJu, tetapi sejujurnya ia agak mengecewakan. Kita juga melihat maklum balas masyarakat yang menyatakan aplikasi ini masih belum cukup bersedia untuk digunakan pada masa ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau membangkitkan perkara itu susulan keputusan kerajaan melarang penjawat awam menggunakan Waze ketika menjalankan tugas rasmi.
Sehubungan itu, beliau meminta Kementerian Digital menjelaskan sama ada aplikasi tempatan berkenaan sudah cukup matang untuk menggantikan platform navigasi terkemuka seperti Waze.
Menjawab perkara itu, Menteri Digital, Gobind Singh Deo mengakui aplikasi TuJu masih memerlukan penambahbaikan bagi memperkukuh mutu perkhidmatannya.
Beliau menjelaskan, aplikasi yang dibangunkan bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di bawah Kementerian Kerja Raya itu pada asalnya bertujuan menyediakan maklumat berkaitan keadaan trafik lebuh raya, plaza tol, kawasan rehat dan rawat (R&R) serta paparan kamera litar tertutup (CCTV).
Namun, katanya, skop perkhidmatan aplikasi itu kini sedang diperluas untuk merangkumi aliran trafik di jalan raya yang menghubungkan pengguna ke lebuh raya.
Gobind berkata, kerajaan menerusi inisiatif GovTech turut akan meneroka kerjasama dengan pihak berkaitan bagi menambah baik aplikasi TuJu serta aplikasi tempatan lain.
Beliau turut menjelaskan larangan penggunaan Waze tidak melibatkan seluruh rakyat Malaysia, sebaliknya hanya terpakai kepada penjawat awam seperti yang ditakrifkan di bawah Perlembagaan Persekutuan ketika menjalankan tugas rasmi.






