
KUALA LUMPUR: Misi pencarian rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi susulan kejadian banjir kilat di Rasuwa, Nepal, diteruskan meskipun kerajaan negara itu menghentikan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, usaha pencarian itu dilaksanakan Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu dengan kerjasama kerajaan tempatan serta pos pendakian di sepanjang laluan yang terjejas.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat penjejakan daripada pos pendakian, lokasi terakhir kebanyakan rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi dikenal pasti berada di laluan yang terjejas akibat kejadian berkenaan.
“Malaysia masih melakukan misi pencarian biarpun kerajaan Nepal ketika ini sudah pun memasuki fasa pemulihan. Kita masih menghubungi pos pendakian dan menjejaki laluan rakyat Malaysia.
“Kita akan teruskan pencarian kumpulan rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi ini sehingga tiada lagi ruang untuk melakukan apa-apa tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) mengenai status terkini rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi susulan tragedi di Nepal pada 26 Ogos lalu, pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.






