
JAKARTA: Tiga daripada 11 syarikat yang disyaki terbabit dalam kebakaran hutan dan tanah di Indonesia dikenal pasti sebagai syarikat pelaburan asing, dengan kebakaran berkenaan turut menyebabkan jerebu di Malaysia, Singapura, Timor-Leste dan sebahagian Filipina.
Ketua Polis Negara Indonesia, Jeneral Suyudi Ario Seto berkata, pihaknya sudah mengenal pasti 11 syarikat yang disyaki terlibat dalam kes berkenaan, manakala siasatan terhadap mereka masih diteruskan.
“Kami sudah mengenal pasti 11 syarikat sebagai suspek. Tiga daripadanya ialah syarikat pelaburan asing, manakala siasatan masih diteruskan,” katanya di Istana Presiden di Jakarta, malam semalam.
Beliau berkata, pihak polis tidak menghadapi sebarang kesukaran dalam menjalankan siasatan terhadap syarikat terbabit.
Timbalan Ketua bagi Penyelarasan Keupayaan dan Kerjasama Pertahanan di Kementerian Penyelaras Hal Ehwal Politik, Undang-undang dan Keselamatan Indonesia, Kresno Pratowo berkata, sebanyak 98 laporan berkaitan kebakaran hutan dan tanah diterima baru-baru ini.
Menurutnya, proses penguatkuasaan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab, khususnya syarikat, memerlukan masa yang panjang.
“Proses ini sememangnya agak panjang. Namun, saya menggalakkan perkara ini didedahkan kepada umum,” katanya ketika Diskusi Redaksi mengenai kebakaran hutan dan tanah di Amanaia Satrio, Jakarta Selatan, Rabu lalu.
Pengarah Kawalan Kebakaran Hutan di Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, Thomas Nifinluri berkata, tindakan undang-undang terhadap syarikat yang disyaki terbabit perlu dilaksanakan secara teliti bagi memastikan setiap dakwaan disokong bukti kukuh.
“Ini melibatkan kedudukan undang-undang yang mesti dibuktikan dengan jelas dan tepat. Jadi, ia bukan sekadar cakap-cakap, sebaliknya mesti disokong bukti kukuh,” katanya.
Beliau berkata, siasatan turut melibatkan penilaian terhadap tahap pematuhan syarikat serta kemudahan pencegahan kebakaran yang disediakan.
Antara aspek yang diteliti termasuk prosedur operasi standard (SOP), sistem amaran awal seperti pengesanan titik panas serta prosedur pelaporan bagi memastikan syarikat mematuhi keperluan ditetapkan.
Indonesia berdepan kebakaran hutan setiap kali musim kemarau, namun kebakaran pada 2026 dilaporkan lebih serius berbanding tahun-tahun sebelumnya, sebahagiannya dikaitkan dengan fenomena El Niño yang lebih kuat.







