
KUALA LUMPUR: Turkiye belum bersedia mempertimbangkan permohonan Malaysia untuk menerima sebahagian pelarian Rohingya yang berada di negara ini berikutan negara itu kini menanggung lebih empat juta pelarian dari beberapa negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian rasmi kerajaan Turkiye itu dimaklumkan kepadanya dua hari lalu.
“Saya dapat pesanan daripada pihak Turkiye dua hari lalu mereka belum bersedia menimbangkan (permohonan Malaysia). Itu bagi pihak Turkiye.
“Turkiye sekarang menanggung lebih empat juta pelarian daripada negara-negara Teluk, negara-negara Arab dan beberapa negara jiran.
“Jadi, itu tidak dapat dipersetujui secara rasmi daripada kerajaan Turkiye,” katanya pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PKR-Pasir Gudang) yang meminta penjelasan berhubung kenyataan bahawa kerajaan Turkiye bersedia menerima 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia.
Pada 20 November lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerusi hantaran di media sosial memaklumkan, seramai 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia akan ditempatkan semula di Turkiye melalui program latihan kemahiran berstruktur.
Ahmad Zahid menyifatkan usaha itu sebagai sebahagian daripada pendekatan strategik kerajaan bagi menangani kehadiran etnik berkenaan di negara ini secara lebih teratur, berkesan dan berperikemanusiaan.
Namun, hantaran berkenaan kemudian dipadam daripada akaun media sosial beliau tanpa sebarang penjelasan, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai kesediaan Turkiye menerima pelarian terbabit.
Anwar menegaskan, Malaysia akan meneruskan usaha mendapatkan negara ketiga bagi penempatan pelarian Rohingya, termasuk negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
“Kita tidak mahu hal ini disalah erti kerana percubaan itu, seperti yang disuarakan oleh Timbalan Perdana Menteri (Ahmad Zahid), adalah konsisten dengan pendirian Malaysia untuk mencari tempat negara ketiga.
“Mana-mana negara yang boleh, termasuk negara-negara OIC,” katanya.
Menurut beliau, sebelum ini terdapat harapan agar Turkiye dapat mempertimbangkan cadangan berkenaan berdasarkan tradisi negara itu dalam membantu pelarian dari negara Islam.
Bagaimanapun, Turkiye kini sudah menyatakan pendirian jelas bahawa negara itu belum bersedia menerima pelarian Rohingya dari Malaysia berikutan tanggungan sedia ada.
Terdahulu, Turkiye dilaporkan menolak pengumuman Ahmad Zahid menerusi Pusat Memerangi Disinformasi (DMM), Direktorat Komunikasi Turkiye.





