
KUALA LUMPUR: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengarahkan pengurusan institusi itu menyiasat segera aduan berhubung penyediaan makanan tidak memuaskan di Dewan Selera Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghafar Baba.
Arahan itu dibuat selepas beberapa pelajar dan ibu bapa menghubungi pihak berkaitan bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap penyediaan makanan di dewan selera berkenaan.
Asyraf Wajdi berkata, beliau kecewa dan marah terhadap sikap kontraktor penyedia makanan yang didakwa gagal memastikan kualiti makanan menepati piawaian ditetapkan.
“Hasil semakan awal dengan pihak pengurusan mendapati kontrak penyedia makanan berkenaan hanya berbaki sebulan sebelum tamat tempoh.
“Situasi itu menimbulkan kebimbangan kemungkinan berlaku kecenderungan dalam kalangan kontraktor untuk mengabaikan kualiti perkhidmatan apabila kontrak hampir berakhir.
“Pengetua MRSM Tun Ghafar Baba diminta menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak bertanggungjawab,” katanya melalui hantaran di Facebook.
Beliau turut mengingatkan bahawa isu berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana membabitkan kebajikan dan kesihatan pelajar, khususnya mereka yang tidak berkemampuan mendapatkan makanan alternatif di kafe atau koperasi.
Katanya, kejadian itu berlaku ketika pelajar Tingkatan Lima sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sekali gus memerlukan perhatian terhadap aspek pemakanan dan kebajikan mereka.
“Beberapa minggu lalu saya telah melakukan tinjauan mengejut menerusi program #Terjah di MRSM berkenaan dan memberi peringatan kepada Penyelia Dewan Selera supaya memastikan makanan yang disediakan mematuhi piawaian ditetapkan MARA.
“Apa-apapun saya telah minta Pengurusan MARA khususnya Bahagian Pendidikan Menengah untuk ambil tindakan segera malam ini juga untuk selesaikan isu ini,” katanya.
Beliau menegaskan, tidak boleh tolak ansur dengan isu berkenaan kerana ia melibatkan soal kebajikan pelajar.
Katanya, kontraktor makanan boleh dikenakan penalti dan akan disenarai hitamkan daripada mendapat apa-apa manfaat daripada MARA pada masa akan datang.
“Ingatlah keuntungan yang diperolehi daripada hasil yang curang dan menyimpang tidak akan pernah punya keberkatan malah menjadi asbab kepada kecelaruan dan kesengsaraan hidup berterusan,” katanya.





