
KUALA KRAI: Tidak menyangka bunyi tangisan yang didengari ketika berehat selepas menebas semak membawa kepada penemuan seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun lapan bulan yang dilaporkan hilang di Kampung Bechah Salak, petang semalam.
Penoreh getah, Mohamed Fadhli Sudin, 41, berkata, pada mulanya dia menyangka bunyi berkenaan sekadar tangisan biasa sebelum terdengar suara semakin kuat, sekali gus mendorongnya mencari arah bunyi itu.
Menurutnya, usaha menjejaki suara berkenaan akhirnya membawa kepada penemuan kanak-kanak itu dalam keadaan lemah dan keletihan di kawasan hutan ladang getah berkenaan.
“Saya kemudian berusaha menjejaki arah suara itu sebelum terkejut apabila menemukan seorang kanak-kanak lelaki yang hanya memakai lampin pakai buang dalam keadaan lemah dan keletihan di hutan.
“Sebaik menemukannya, saya segera mendekati dan membawanya keluar dari kawasan hutan sebelum memaklumkan penemuan itu kepada pasukan penyelamat,” katanya seperti yang dilapor Berita Harian.
Mohamed Fadhli berkata, dia sebenarnya mengetahui mengenai kehilangan kanak-kanak itu dan turut serta dalam usaha mencari mangsa.
Namun, dia tidak menyangka tangisan yang didengari ketika berehat selepas melakukan kerja menebas semak menjadi petunjuk penting sehingga membawa kepada penemuan kanak-kanak terbabit.
“Saya tidak menyangka tangisan yang didengari ketika berehat selepas menebas semak membawa kepada penemuan mangsa,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan kanak-kanak berkenaan, Muhammad Irsyad Hakim Mohammad Khairul Najmi, ditemukan selamat di sebuah ladang getah selepas dilaporkan hilang di Kampung Bechah Salak.





