
KUALA LUMPUR: Tidak semua buruh asing boleh terus masuk ke Malaysia untuk bekerja apabila setiap calon pekerja diwajibkan melalui saringan rekod jenayah dan latar belakang oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlebih dahulu.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akhbar Khan berkata, saringan itu dilaksanakan menerusi sistem bersepadu yang menghubungkan proses pengambilan pekerja asing dengan PDRM.
Katanya, pemeriksaan berkenaan merupakan prosedur wajib bagi setiap pekerja asing yang ingin memasuki negara ini untuk bekerja.
“Mana-mana pekerja asing yang mahu digaji (di negara ini) perlu melalui proses telah ditetapkan.
“Sebelum masuk ke negara ini, kita menggunakan sistem diintegrasikan dengan PDRM untuk menyemak sama ada mereka mempunyai kes jenayah lampau atau rekod tidak baik.
“Saya percaya kita akan sentiasa melihat kaedah terbaik bagi memastikan insiden disebutkan tadi dapat dikurangkan demi keselamatan pekerja dan rakyat tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) pada sesi lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Nurul Amin meminta penjelasan mengenai jaminan dan inisiatif kerajaan bagi memastikan pekerja asing yang diluluskan kuota pekerjaan mendapat pendedahan mengenai undang-undang serta aspek keselamatan sepanjang berada di Malaysia.
Beliau turut membangkitkan kebimbangan berhubung beberapa insiden jenayah yang didakwa membabitkan warga asing, selain menggesa kerajaan memperketat pemantauan dan kawalan demi menjamin keselamatan rakyat tempatan.
Dalam pada itu, Khairul Firdaus menegaskan majikan juga perlu mematuhi semua proses serta ketetapan kerajaan sebelum mengambil pekerja asing bagi memastikan pengambilan tenaga kerja berkenaan berjalan mengikut prosedur ditetapkan.






