
KUALA LUMPUR: Filem Khadam mencipta kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35).
Pengarah filem berkenaan, Shamyl Othman turut meraih anugerah Pengarah Terbaik sebagai pengiktirafan terhadap kreativiti, visi dan usaha dalam menghasilkan karya berkenaan.
Kejayaan Khadam tidak terhenti di situ sahaja malah membawa pulang 8 lagi anugerah dalam pelbagai kategori acara berprestij industri perfileman tanah air itu.
Filem Khadam digarap dengan berani mengetengahkan kepercayaan tradisional masyarakat Melayu menjadi sebuah kisah seram yang mempunyai lapisan emosi dan psikologi.
Ia bukan sekadar kisah saka yang diwarisi turun-temurun tetapi tentang seorang ibu terpaksa berjuang menentang sesuatu yang mahu mengambil alih kehidupannya.
Bahkan, filem berkenaan mencetuskan rasa ketakutan dan kehilangan apabila orang yang kita sayangi tidak lagi mengenali siapa diri kita sebenarnya.
Dalam pada itu, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh pasukan produksi filem berkenaan atas pencapaian membanggakan itu.
Dalam perkembangan sama, beliau mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada seniwati Fauziah Ahmad Daud turut menerima Anugerah Khas Sepanjang Zaman sebagai penghargaan terhadap sumbangan dan perjalanan panjang beliau dalam industri seni tanah air.
“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah FFM35 atas pencapaian dan sumbangan masing-masing dalam memartabatkan industri kreatif negara.
“Pengiktirafan menerusi FFM35 diharap dapat menjadi suntikan motivasi kepada penggiat seni untuk terus menghasilkan karya berkualiti, berani meneroka idea baharu dan meningkatkan daya saing filem tempatan,” katanya dalam hantaran di Facebook.







