
LONDON: Teka-teki mengenai pelakon yang bakal menggalas watak ejen perisikan ikonik, James Bond, akhirnya terjawab apabila Robert Pattinson secara rasmi diumumkan sebagai pelakon baharu yang akan membawa watak 007.
Pelakon yang terkenal menerusi filem The Batman dan The Odyssey itu dipilih oleh Amazon MGM Studios bersama pengarah terkenal, Denis Villeneuve, sekali gus menamatkan spekulasi berbulan-bulan mengenai identiti pelakon yang bakal mengambil alih watak berkenaan.
Pattinson menyifatkan peluang membawa watak James Bond sebagai satu penghormatan terbesar dalam perjalanan kerjaya seninya.
“James Bond adalah antara watak paling legenda dalam sejarah perfileman dan diberi kepercayaan untuk membawa watak 007 adalah penghormatan sepanjang hayat.
“Saya amat berterima kasih kepada Denis, Amy, David, Tanya serta seluruh pasukan Amazon MGM Studios atas kepercayaan mereka terhadap saya.
“Untuk mengatakan watak ini adalah impian yang menjadi kenyataan sebenarnya tidak cukup menggambarkan perasaan saya. Saya tidak sabar untuk memulakan kerjasama ini dan mengharungi perjalanan seterusnya bersama pasukan hebat ini,” katanya menerusi satu kenyataan.
Pemilihan Pattinson dijangka membuka lembaran baharu kepada francais James Bond yang sekian lama menjadi antara jenama filem aksi perisikan paling berpengaruh di dunia.
Dengan pengalaman membintangi pelbagai produksi berprofil tinggi, termasuk The Batman, kehadiran Pattinson sebagai 007 pastinya mencetuskan keterujaan peminat yang menantikan pendekatan baharu terhadap karakter legenda berkenaan. – Agensi







